MEMAHAMI ASAS UNDANG-UNDANG KONTRAK


MEMAHAMI ASAS UNDANG-UNDANG KONTRAK

1.1 LATARBELAKANG
Perundangan utama dalam undang-undang kontrak ialah Akta Kontrak 1950 (disemak semula 1974)  iaitu suatu statut yang telah dikanunkan semula dari Ordinan Kontrak 1950. Ordinan ini sebelum ini terpakai kepada sembilan buah negeri Melayu sahaja, manakala Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak ditadbirkan oleh undang-undang Inggeris yang sesuai dengan dengan keadaan setempat. Akta Kontrak yang baharu sekarang terpakai keseluruh Malaysia.

Meskipun prinsip undang-undang kontrak berasal dari England, Akta Kontrak sebenarnya lebih dekat kepada Akta Kontrak India kerana Enakmen yang asal sebenarnya adalah produksi semula dari Akta Kontrak India 1872. Akta India ini menjadikan undang-undang Inggeris sebagai model dengan pengubahsuaian  pada beberapa aspek.  Akta India ini juga meminjam beberapa peruntukan dari Draft Code for The New York (Field Code).

Prinsip-prinsip kontrak didalam undang-undang Inggeris (common law) masih boleh diguna pakai tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956. Dalam tafsiran peruntukan Akta undang-undang Inggeris akan dipakai jika undang-undang adalah sama atau Akta mengkanunkan prinsip-prinsip Common Law tanpa memberi tafsiran kepada peruntukan tersebut.

1.2 DEFINISI
Kontrak didefinisikan oleh seksyen 2(h) Akta Kontrak (selepas ini AK) sebagai ‘satu persetujuan yang dikuatkuasakan oleh undang-undang’. Pokok persoalan dalam kontrak ialah perjanjian. Semua kontrak mestilah berbentuk perjanjian, akan tetapi tidak semua perjanjian secara automatik adalah kontrak.

1.3 FUNGSI
Kontrak merupakan satu instrumen yang berupaya menyatukan dan meyamakan kepentingan dua pihak yang sebelum ini mungkin bercanggah kearah mencapai satu matlamat yang sama.
Antara tujuan kontrak diwujudkan ialah:
  1. Untuk menjamin harapan yang dicipta oleh satu beri janji untuk melaksanakan sesuatu pada masa akan datang atau harapan untuk dibayar apabila berlaku kemungkiran.
  2. Untuk memudahcara rancangan yang dibawa kehadapan, mana-mana transaksi dalam hal kos dan nilai, tanggungjawab pihak-pihak dan rancangan kontigensi.


1.4 ELEMEN-ELEMEN KONTRAK
Kontrak mesti mempunyai elemen-elemen atau rukunnya yang tersendiri, baru boleh dikatakan kontrak. Jika sesuatu perjanjian tidak mempunyai elemen-elemen berikut ia bukan satu kontrak dan tidak boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang.
1. Mesti wujud satu tawaran dari pihak yang membuat tawaran
2. Pihak yang menerima tawaran mesti membuat satu penerimaan
3. Niat kedua-dua pihak untuk mengikat di sisi undang-undang
4. Terdapat balasan dalam perjanjian tersebut
5. Pihak-pihak tersebut adalah layak untuk memasuki kontrak
6. Butir perjanjian yang dimasuki hendaklah tertentu

1.5 KONTRAK BATAL DAN KONTRAK BOLEH BATAL
Dalam mana-mana kontrak jika tidak wujud tawaran dan penerimaan ia dikira batal dari awalnya atau dipanggil void ab initio. Secara logiknya, jika tiada pihak yang membuat tawaran tentulah tidak akan wujud pihak yang membuat penerimaan. Sekiranya, tidak ada pihak yang membuat penerimaan maka sesuatu kontrak mustahil dapat diteruskan.

Namun begitu, kontrak juga boleh menjadi batal kerana keadaan-keadan tertentu. Umpamanya kontrak mesti berlaku dalam keadaan pihak-pihak yang berkontrak adalah sukarela iaitu bersetuju perkara yang sama dalam pengertian yang sama. Persetujuan tersebut hendaklah bebas dari unsur-unsur berikut:
  1. Paksaan
  2. Pengaruh Tak Berpatutan
  3. Tipuan
  4. Salahnyataan
  5. Khilaf

Sekiranya kontrak itu mengandungi tujuan atau balasan yang tidak sah, ia menjadi batal dan tidak boleh dikuatkuasakan meskipun wujud persetujuan antara pihak-pihak yang berkontrak.



MEMAHAMI ASAS UNDANG-UNDANG KONTRAK MEMAHAMI ASAS UNDANG-UNDANG KONTRAK Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 6:56:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.