JENIS-JENIS HARTA INTELEK
JENIS-JENIS
HARTA INTELEK
Undang-undang
harta intelek di Malaysia yang ditadbir oleh MyIPO meliputi enam perkara, yang
mana setiap perkara mempunyai statutnya yang tersendiri, iaitu:
- Akta Hakcipta 1987
- Akta Cap Dagangan 1972
- Akta Paten 1983
- Akta Reka Bentuk Perindustrian 1983
- Akta Petunjuk Geografi 2000
- Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000
Selain itu satu
lagi akta ditadbirkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia iaitu Akta Perlindungan
Varieti Baru Tumbuhan 2004.
Di bawah Common
Law terdapat dua jenis lagi prinsip harta intelekyang diterima di Malaysia
iaitu: kekelirupaan (passing off) dan kerahsiaan (trade secret).
Berikut di berikan maklumat ringkas jenis-jenis berkenaan.
1. Hakcipta
Hakcipta
merupakan hasil kegiatan dan ciptaan seseorang seperti gubahan lagu, penulisan
novel, penulisan skrip drama atau filem dan rakaman bunyi. Ia juga dipanggil
harta kerana menepati konsep “sesuatu yang boleh dibeli, dijual, dipindahmilik,
disewa bahkan diwasiat”.
Akta Hakcipta
1987 memperuntukkan perlindungan untuk karya-karya berhakcipta. Akta ini
menggariskan karya-karya yang layak diberi perlindungan hakcipta (termasuklah
program komputer), skop perlindungan, dan cara mana ianya diberikan
perlindungan. Tiada sistem pendaftaran untuk karya-karya berhakcipta.
Tempoh
perlindungan hakcipta untuk karya sastera, muzik dan seni adalah selama hayat
pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya-karya rakaman bunyi,
siaran dan filem, perlindungannya adalah selama 50 tahun selepas karya-karya
tersebut mulanya diterbitkan atau dizahirkan.
Akta ini juga
memberi perlindungan kepada hak-hak pelaku dalam sesuatu persembahan yang
dibuat secara langsung selama 50 tahun bermula dari tahun calendar berikutnya
setelah ianya mula dipersembahkan.
Pada tahun 2003,
Akta Hakcipta 1987 telah dipinda untuk memperkemaskan peruntukan-peruntukan
penguatkuasaannya dimana pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diberi kuasa-kuasa menangkap (termasuklah
penangkapan tanpa waran). Sepasukan khas pegawai-pegawai KPDNHEP telah dilantik
untuk menguatkuasakan Akta ini dan diberikan kuasa untuk memasuki mana-mana
premis yang disyaki memiliki salinan-salinan langgaran dan kuasa untuk
memeriksa dan merampas salinan-salinan langgaran dan apa-apa kelengkapan yang
berkaitan dengannya.
2. Cap
Dagangan
Cap
dagangan ditakrifkan sebagai suatu cap yang digunakan atau dicadangkan untuk
digunakan berhubung dengan sesuatu barang atau perkhidmatan bagi menunjukkan wujudnya
suatu hubungan perdagangan di antara barang itu dengan tuan punya yang berhak
untuk menggunakan cap tersebut sama ada dengan menunujukkan atau tidak
menunjukkan identiti orang itu.
Cap
termasuklah suatu tanda, jenama, kepala, label, tiket, nama, tandatangan,
perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya.
Perlindungan cap
dagangan diperuntukan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-peraturan
Cap Dagangan 1997. Akta ini memberi perlindungan kepada cap-cap dagangan dan
cap-cap perkhidmatan di Malaysia. Setelah sesuatu cap dagangan didaftarkan,
tiada sesiapa selain daripada pemiliknya atau pengguna yang dibenarkan boleh
menggunakannya. Tindakan pelanggaran boleh dimulakan ke atas mereka.
Tempoh sah
perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama
10 tahun seterusnya. Pemilik cap dagangan atau perkhidmatan berhak
mengeksploit, menyerahhak atau melesenkan penggunaannya. Malaysia melarang
penggunaan cap-cap terkenal oleh pihak-pihak yang tidak diberi kuasa dan
peruntukan langkah-langkah sempadan juga melarang cap-cap lancung (cap-cap
tiruan) dari diimport ke Malaysia.
Malaysia telah
menjadi ahli kepada Perjanjian Nice dan Vienna pada 28 Jun 2007 yang mula
berkuatkuasa pada 28 September 2007. Perjanjian Nice adalah merujuk kepada
pentadbiran Klasifikasi Antarabangsa Barangan dan Perkhidmatan bagi tujuan
pendaftaran cap dagangan dan perkhidmatan manakala Perjanjian Vienna merujuk
kepada apa-apa klasifikasi cap yang
mengandungi elemen bergambar. Kedua-dua Perjanjian adalah penting untuk
memudahkanprosedur pendaftaran cap dagangan.
3. Paten
Paten merupakan
hak ekslusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada produk ataupun
proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun penyelesaian
teknikal terhadao sesuatu masalah.
Perlindungan
paten di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Paten 1983 dan
Peraturan-peraturan Paten 1986. Suatu rekacipta boleh dipatenkan jika ianya
adalah baru, melibatkan langkah-langkah merekacipta dan boleh digunakan dalam
industri. Sesuatu permohonan paten adalah dibuka untuk pemeriksaan awam selepas
tempoh 18 bulan dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan permohonan .
Akta Paten 1983
memberi perlindungan paten selama 20 tahun dari tarikh pemfailan. Manakala
tempoh perlindungan perakuan perbaharuan utiliti adalah 10 tahun dari tarikh
pemfailan dan boleh dilanjutkan kepada lima tahun dan seterusnya lima tahun
lagi bergantung kepada penggunaannya. Pemunya paten berhak untuk
mengeksploitasi rekaciptanya,menyerahhak atau memeterai kontrak lesen.
Akta Paten 1983 membenarkan lesen
wajib dan pengimportan produk yang dipaten yang telah dipasarkan di negara luar
(parallel import). Kerajaan berhak melarang pemberian paten atas alasan moral
atau public order. Akta Paten1983 telah dipinda pada tahun 2003 untuk
memasukkan peruntukan membenarkan pengimportan di bawah skop lesen wajib.
Malaysia telah menjadi ahli kepada
PCT pada 16 Mei 2006 dan berkuatkuasa pada 16 Ogos 2006 MyIPO bertindak sebagai
Pejabat Penerima bagi pemfailan antarabangsa permohonan paten dimana permohonan
tersebut boleh difailkan di MyIPO.
4. Rekabentuk Perindustrian
Reka bentuk
perindustrian merujuk kepada aspek hiasan atau estetik sesuatu barang yang
boleh terdiri daripada daripada ciri tiga dimensi seperti bentuk dan tatarajah
sesuatu barang atau ciri dua dimensi seperti corak dan hiasan.
Perlindungan reka
bentuk perindustrian di Malaysia diperuntukan di bawah Akta Reka Bentuk
Perindustrian 1996 dan Peraturan-peraturan Reka Bentuk Perindustrian
1999. Akta ini
memberikan hak perlindungan kepada reka bentuk perindustrian berdaftar sebagai
harta persendirian yang boleh dibuat melalui penyerahhak.
Pendaftaran boleh
dibuat sekiranya reka bentuk perindustrian tersebut adalah baru dan tidak
termasuk kaedah atau prinsip pembinaan atau reka bentuk berkenaan tidaklah
ditentukan semata-mata oleh fungsi. Reka bentuk berkenaan tidak boleh
bergantung kepada rupa suatu barang lain yang mana menjadikannya suatu bahagian
yang perlu dalam barang tersebut.
Suatu reka bentuk
perindustrian berdaftar diberi perlindungan selama 5 tahun dari tarikh
pemfailan. Perlindungan boleh dilanjutkan selama dua tempoh dimana setiap
tempoh perlindungan adalah selama 5 tahun, menjadikan tempoh maksima
perlindungan 15 tahun.
5. Petunjuk
Geografi
Akta Petunjuk
Geografi 2000 memperuntukkan perlindungan ke atas barangan yang memberi
indikasi dari mana barangan itu berasal, di mana kualiti, reputasi atau
lain-lain ciri barangan tersebut dikaitkan dengan tempat asal barangan tersebut
dikeluarkan. Petunjuk geografi melindungi barangan seperti wain dan spirit,
barangan keluaran semulajadi atau pertanian atau apa-apa keluaran kraftangan
untuk industri. Petunjuk geografi yang bertentangan dengan ketenteraman awam
atau prinsip moral tidak boleh dilindungi dibawah akta ini.
Untuk mendaftar
permohonan petunjuk geografi, pemohon hendaklah seorang yang menjalankan
aktiviti sebagai pengeluar dalam kawasan geografi tersebut termasuk suatu
kumpulan atau kumpulan-kumpulan orang sedemikian, suatu pihak berkuasa yang
berwibawa atau suatu organisasi atau persatuan perdagangan. Tempoh perlindungan
petunjuk geografi adalah selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10
tahun.
6. Reka Bentuk Susun Atur Litar
Bersepadu
Akta Reka Bentuk
Susun Atur Litar Bersepadu 2000 memberi perlindungan kepada reka bentuk susun
atur yang berdasarkan prinsip asli dan hasil rekacipta pencipta. Tiada sistem
pendaftaran untuk perlindungan reka bentuk susun atur.
Tempoh
perlindungan reka bentuk susun atur adalah selama 10 tahun dari tarikh mula
ianya dieksploitasi secara perdagangan atau 15 tahun dari tarikh ianya dicipta
sekiranya tidak dieksplotasi secara komersil.
Akta ini juga
membenarkan tindakan diambil oleh pemilik sekiranya hak-hak tersebut yang
diperuntukkan di bawah akta telah dilanggar. Hak-hak tersebut juga boleh
dipindahkan samada sebahagian atau sepenuhnya melalui penyerahak, perlesenan,
wasiat atau atas kuatkuasa undang-undang.
7. Perlindungan Varieti Baru
Tumbuhan
Kepelbagaian tumbuhan tersenarai sebagai perkara-perkara
yang tidak boleh dipatenkan. Walaupun begitu, terdapat Akta khusus iaitu Akta
Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang memberi perlindungan kepada
kepelbagaian tumbuhan yang dicipta oleh pembiak tumbuhan, peladang dan orang
asli .
Perlindungan di bawah Akta ini boleh diperolehi melalui
pendaftaran. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseuatu
pendaftaran itu boleh diterima. Pertama, kepelbagaian tumbuhan itu perlu baru
iaitu tiada kepelbagaian tumbuhan yang sama telah dijual di pasaran sebelum
pendaftaran. Kedua, ‘berbeza’ bermaksud kepelbagaian tumbuhan yang ingin
didaftarkan perlu berlainan dari kepelbagaian tumbuhan yang diketahui ada di
pasaran. Ketiga, ‘seragam’ bermaksud tumbuhan yang dihasilkan perlulah seragam
pada elemen-elemen yang berkaitan. Keempat, kepelbagaian tumbuhan yang
dihasilkan perlu stabil , iaitu elemen-elemen yang berkaitan tidak berubah
selepas semaian yang berulang.
Pendaftaran
kepelbagaian tumbuhan memberi hak eksklusif kepada pemilik untuk
mengeksploitasikan kepelbagaian tumbuhan tersebut secara komersil. Ini termasuk
menghasilkan, menghasilkan semula, menjual, mengimport , mengeksport dan
menyimpan
8. Hak-hak di bawah Common Law
Undang-undang Common Law diterima pakai di Malaysia berasaskan peruntukan di
bawah Akta Undang-undang Sivil 1956. Prinsip-prinsip di bawah Common law diperolehi melalui kes-kes
yang diputuskan. Dua jenis hak yang boleh dikuatkuasakan ialah:
a. Kekelirupaan (Passing Off)
Kekelirupaan merupakan kategori harta intelek yang
mendapat perlindungan common law. Asas perlindungan ini diperolehi dari
undang-undang torts berkaitan salahnyataan. Salahnyataan di sini berlaku
apabila seseorang menyatakan atau melakukan sesuatu yang menyebabkan orang lain
secara salah menganggap barangan atau perkhidmatan yang diberikan adalah
kepunyaan orang tersebut.
Undang-undang ini
biasa diguna pakai oleh pihak yang mana nama atau tanda niaga yang digunakan
tidak mendapat perlindungan di bawah undang-undang cap dagangan. Syarat yang
diperlukan ialah pertama, terdapatnya nama atau reputasi baik yang timbul di
atas penggunaan nama, simbol atau logo yang diguna pakai oleh seseorang peniaga
itu ke atas barangan atau perkhidmatannya. Kedua, terdapat salahnyataan, samada
dalam bentuk percakapan atau penulisan yang menyebabkan kekeliruan pada orang
ramai terhadap barangan dan perkhidmatan. Ketiga, terdapat kerugian yang
berlaku pada pihak pemilik nama baik (good will) dalam bentuk kehilangan jualan
dan kerosakan nama baik.
b. Kerahsiaan (Trade Secret)
Kerahsiaan maklumat merujuk kepada maklumat yang bersifat
rahsia. Dalam konteks harta intelek, rahsia perniagaan merupakan maklumat yang
perlu dilindungi. Bagi perlindungan ini, tiada statut khusus yang boleh
dirujuk, perlindungan undang-undang adalah berasaskan prinsip common law.
Rahsia perniagaan merupakan aset yang bernilai yang penting dalam memastikan
kejayaan dan kelangsungan sesuatu perniagaan termasuk formula, teknik, kaedah
yang dipakai dalam perniagaan, senarai pelanggan dan pembekal serta perancangan
dan strategi perniagaan.
Seperti harta
intelek yang lain, pemilik maklumat perlu memenuhi syarat-syarat tertentu
sebelum perlindungan boleh diberikan. Pertama, maklumat merupakan maklumat yang
bersifat rahsia. Kedua, maklumat itu diberi dalam keadaan yang menimbulkan
tanggung jawab kerahsiaan. Ketiga, terdapat penggunaan maklumat rahsia tanpa
kebenaran. Sekiranya pemilik maklumat perniagaan ini memenuhi syarat di atas
beliau boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang memecahkan rahsia.
JENIS-JENIS HARTA INTELEK
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
7:56:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: