BUAT TAWARAN BARU BOLEH KONTRAK
TAWARAN DALAM KONTRAK
1. MAKSUD TAWARAN
Seksyen 2(a) mendefinisikan penawaran sebagai pernyataan
kesediaan kepada pihak lain untuk melakukan atau menahan diri dari melakukan
sesuatu, dengan tujuan untuk mendapat persetujuan pihak itu untuk melakukan sesuatu
atau menahan diri dari melakukan sesuatu.
Penawaran mestilah sesuatu yang pasti dan muktamad dan
yang berupaya menjadi satu perjanjian yang diperakui undang-undang sekiranya
tawaran tersebut diterima – tidak berdolak dalik atau sekadar satu cadangan.
Secara
mudah tawaran itu keluar dari satu pihak kepada sesuatu pihak yang lain.
Contoh; Ali berkata kepada rakannya: Aku nak jual kereta ini kepada kamu dengan
harga RM 19,000.00.
2. TAWARAN MESTI DI KOMUNIKASIKAN
Penawaran boleh datang dalam bentuk lisan, penulisan,
perbuatan atau kombinasi namun setiap tawaran mesti sampai / dikomunikasikan
kepada pihak yang satu lagi iaitu pihak penerima, jika tidak, perjanjian tidak wujud.
Pihak
yang membuat tawaran mestilah menghebahkan atau menyampaikan tawaran tersebut
kepada pihak yang lain. Sekiranya pihak tersebut menyimpan tawarannya dari
pengetahuan orang lain, maka belum wujud satu tawaran. Ini bermakna pihak yang menerima tawaran mestilah tahu
tentang kewujudan tawaran tersebut.
Seksyen
4(1) Akta Kontrak menyatakan tawaran mesti dikomunikasikan dan ia hanya
berkesan apabila tawaran tersebut sampai ke pengetahuan yang menerima tawaran.
Persoalan: Tawaran sudah disampaikan
tetapi pihak yang mendapat tawaran belum ada pengetahuan mengenai tawaran tersebut.
Dalam
kes R v CLARKE (1927) 40 CLR 227 (Australia)
Fakta Kes:
Terdapat
satu kes pembunuhan dan mangsanya ialah seorang anggota polis. Clarke dan
seorang lagi telah ditangkap untuk disiasat. Ketika ditangkap dan dalam soal
siasat, Clarke telah memberi maklumat sehingga tertangkapnya seorang lagi
pembunuh sebenar. Akibatnya Clarke telah dibebaskan dari tuduhan membunuh
tersebut. Kerajaan Australia
telah mengeluarkan tawaran akan memberi ganjaran berjumlah ₤1,000 jika sesiapa
dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh tersebut. Ketika tawaran
dibuat Clarke dalam tahanan. Apabila dibebaskan, ia menuntut sejumlah wang
₤1,000 atas alasan ia telah memberi maklumat tersebut yakni ia telah menerima tawaran dan memberi
balasan kepada kontrak tersebut.
Keputusan:
Mahkamah
memutuskan bahawa Clarke tidak berhak kepada jumlah wang tersebut. Semasa
memberi maklumat Clarke tidak bertindak untuk membuat balasan kepada suatu
kontrak tetapi semata-mata untuk membersihkan atau melepaskan dirinya dari
tuduhan membunuh tersebut. Clarke tidak pernah menerima tawaran yang dibuat
oleh kerajaan, jadi tidak wujud sebarang kontrak. Clarke melaksanakan perbuatan
yang dikehendaki tanpa pengetahuan atau bergantung kepada tawaran tersebut
3. KEPADA SIAPA TAWARAN MESTI DIBUAT?
Tawaran biasanya ditujukan khusus kepada pihak yang
ditentukan. Jika pihak berkenaan menerima ia dianggap sebagai kontrak dua hala (bilateral
contract).
Terdapat tawaran yang ditujukan kepada umum dengan
menetapkan syarat penerimaan. Sesiapa yang memenuhi syarat penerimaan dianggap
sebagai menerima tawaran. Ini dinamakan ‘unilateral contract’
Persoalan
yang ingin ditimbulkan di sini ialah adakah tawaran ini perlu ditujukan kepada
pihak tertentu atau cukup dengan hanya membuat tawaran kepada umum.
Dalam
keadaan tertentu kita mungkin ingin hadkan tawaran kepada pihak tertentu,
tetapi ada kalanya kita mahu lebih banyak pihak yang menerima tawaran tersebut.
Bagaimana pula kita buat tawaran terbuka dan ada pihak yang membuat penerimaan,
tetapi mendakwa yang ia teraniaya dalam kontrak antara kita dan pihak yang
menerima tawaran itu.
Dalam kes Carlill lwn. Carbolic Smoke Ball,
mahkamah memutuskan bahawa tawaran boleh ditujukan kepada seluruh dunia. Niat
yang sebenar bukan untuk berkontrak dengan seluruh dunia tetapi dengan siapa
sahaja yang tampil melaksanakan segala yang diminta oleh tawaran itu.
Untuk menjadi satu tawaran yang sah disisi undang-undang,
pihak yang mengeluarkan pernyataan
tersebut mestilah bersedia untuk terikat didalam satu kontrak sebaik
sahaja tawaran beliau diterima oleh pihak yang satu lagi.
Kes
: CARLILL v CARBOLIC SMOKE BALL [1893] 1 QB 256
Fakta
kes:
Syarikat
Carbolic Smoke Ball mengeluarkan satu produk yang mampu melindungi pengguna
dari selsema (influenza). Syarikat mengeluarkan iklan bahawa ia akan membayar £100
kepada sesiapa yang masih sakit setelah menggunakan produk tersebut mengikut
cara-cara yang ditetapkan. Puan Carlil telah membeli satu produk berkenaan,
berdasarkan iklan tersebut. Beliau telah menggunakan produk mengikut kaedah
yang dinyatakan tetapi masih belum dapat menghilangkan influenzanya.
Syarikat
berhujah bahawa tiada kontrak antaranya dan pengguna tersebut kerana tiada
penerimaan kepada tawarannya. Puan Carlil tidak pernah memberi notis bahawa
beliau menerima tawaran. Syarikat juga berhujah bahawa Puan Carlil tidak
memberi apa-apa balasan kerana syarikat tidak mendapat apa-apa faedah lagi apabila
pembeli menggunakan produk kerana kontrak telah tamat apabila jual beli
sempurna.
Keputusan:
Mahkamah
menolak kedua hujah syarikat. Mahkamah memutuskan bahawa iklan itu adalah satu
tawaran kontrak unilateral antara
syarikat dan sesiapa sahaja yang memuaskan syarat yang ditetapkan di dalam
iklan. Apabila Puan Carlil telah memuaskan semua syarat, beliau berhak untuk
perlaksanaan kontrak tersebut, perlaksanaan syarat-syarat menjadi sebahagian
daripada penerimaan. Lagipun kenyataan syarikat bahawa telah mendepositkan £100
ke dalam bank untuk mennujukkan keikhlasannya adalah bukti mereka
bersungguh-sungguh dan mempunyai timbangan (weight) yang berat.
4. PELAWAAN UNTUK TAWARAN (INVITATION TO TREAT)
Untuk
menjadi tawaran, pihak yang membuat tawaran tidak perlu menjuruskan matlamat
perjanjian semata-mata. Terdapat
pernyataan seakan-akan cadangan tapi bukan cadangan. Ia dipangil pelawaan untuk
membuat tawaran (invitation to treat).
Pelawaan untuk cadangan bukanlah satu tawaran tapi
komunikasi permulaan antara pihak-pihak pada peringkat perundingan.
Ada
keadaan dimana ia hanya satu pelawaan dan tawaran akan dibuat kemudian. Inilah
yang dikatakan sebagai Pelawaan untuk tawaran.
Contoh-contoh
pelawaan untuk tawaran ialah:
1.
Iklan jawatan kosong dalam suratkhabar
2.
Pelelong membuka bidaan
3.
Katalog barangan
4.
Barangan yang dipamirkan di rak
Pihak yang mengeluarkan pernyataan ini tidak terikat
dengan kontrak jika ada maklum balas, iaitu pelawaan tersebut tidak boleh
‘diterima’-sebaliknya pihak yang memberikan maklumbalas itu dianggap memberikan
cadangan sebenar.
Untuk
menjelaskan lagi kedudukan ini, kita lihat kes-kes berikut:
PHARMACEUTICAL
SOCIETY OF GREAT BRITAIN v BOOT CASH CHEMIST (SOUTHERN) LTD [1953] 1QB 401,
[1953] 1 All ER 452
Fakta
Kes:
Kedai
Boots Cash ini menjual ubat yang mana pelanggan akan memilih dan meletakkan
dalam raga dan bukannya meminta ubat dari seorang ahli farmasi bertauliah
seperti kebanyakan kedai farmasi. Pelanggan kemudiannya akan membawa bakul ke
kaunter bayaran. Di sebelah kaunter bayaran ialah meja ahli farmasi yang
berdaftar. Pharmaceutical society
mendakwa bahawa adalah salah menjual racun berjadual tanpa seliaan seorang ahli
farmasi berdaftar mengikut Akta Farmasi dan Racun 1933. Society berhujah bahawa
tawaran telah dibuat ketika barang dipamir di rak dan penerimaan berlaku
apabila pelanggan memasukkan barangan ke dalam bakul.
Keputusan:
Mahkamah
Tinggi dan mahkamah rayuan telah berpihak kepada Boots yang menyatakan bahawa
mempamerkan barangan di rak bukan satu tawaran. Apabila pelanggan meletakkan
barangan ke dalam bakul baru wujud tawaran dan ia boleh ditolak atau diterima
oleh Ahli Farmasi. Privy Council mengekalkan keputusan ini. Jadi Boots Cash
tidak melanggar mana-mana peraturan di bawah Akta Farmasi dan Racun 1933.
GIBSON
v MANCHESTER CITY COUNCIL[1979] 1 WLR 294
Fakta
Kes:
Gibson
adalah seorang penyewa rumah Majlis Bandaraya Manchester. Beliau mengisi borang
untuk mengetahui harga rumah yang disewanya. Borang tersebut adalah satu brosur
yang diedarkan oleh Majlis kepada penyewa yang berminat untuk membeli rumah
yang mereka sewa. Skim tersebut memperuntukkan bahwa jualan akan dibuat
berdasarkan harga jaualan semasa dan ditolak tempoh masa yang disewa oleh
penyewa. Gibson berhujah bahawa apabila ia menyempurnakan borang dan
menghantarnya kepada Majlis maka ia adalah satu penerimaan. Oleh itu mengikut
Gibson rumah tersebut telah menjadi milik beliau.
Keputusan:
Belum
wujud satu kontrak. Majlis tidak pernah membuat tawaran yang boleh dibuat
penerimaan. Surat Majlis adalah jelas menyatakan mereka bersedia untuk menjual
dan mempelawa penyewa untuk membuat permohonan rasmi bagi membeli rumah tersebut. Ini bukan satu
tawaran tetapi hanya pelawaan untuk membuat tawaran. Tuntutan Gibson untuk
perlaksanaan spesifik ditolak.
COELHO
v THE PUBLIC SERVICES COMMISSIONS (1964) MLJ 12
Fakta
Kes:
Pemohon
telah memohon satu jawatan yang diiklankan dalam suratkhabar. Dia kemudiannya
dimaklumkan bahawa permohonanya diterima. Kemudiannya, PSC menamatkan
pekerjaannya atas dasar bahawa ia dilantik secara percubaan. Pemohon memohon ke
mahkamah untuk mengenepikan penamatan tersebut.
Keputusan:
Mahkamah
Tinggi memutuskan bahawa iklan tersebut adalah tawaran untuk mereka yang layak
untuk memohon dan keputusan permohonan tersebut adalah tawaran. Tawaran
tersebut boleh samada diterima secara mudah atau dengan mengenakan
syarat-syarat yang akan dimasukkan dalam perjanjian. Tawaran yang dibuat oleh
pemohon telah dijawab oleh PSC dengan tawaran balas yang mana pemohon boleh
menerima atau menolaknya. Surat
kepada pemohon adalah satu penerimaan yang tidak layak dan tidak timbul
perlantikannya sebagai percubaan.
Dalam
kes ini yang penting ialah prinsip bahawa iklan dalam suratkhabar adalah satu
pelawaan untuk membuat tawaran dan bukan satu tawaran.
5. PEMBATALAN TAWARAN
Seksyen
5 Akta Kontrak - Pembatalan tawaran boleh dibuat pada bila-bila masa
sebelum komunikasi penerimaan sempurna terhadap pihak yang membuat tawaran.
Jika penerimaan sudah sempurna, tawaran tidak boleh lagi dibatalkan dan satu
kontrak telah pun wujud.
Dibawah
seksyen 6 Akta Kontrak diperuntukan bahawa tawaran boleh dibatalkan dalam
keadaan-keadaan yang berikut:
1.
Pihak yang membuat tawaran menyampaikan satu notis pembatalan tawaran kepada
pihak lain.
BYRNE
v VAN TIENHOVEN (1880) 5 C.P.D 344
Fakta
Kes:
Defendan
menawarkan 1,000 kotak tinplates kepada plaintif. Komunikasi berikut berlaku:
1
Okt – defendan menghantar surat tawaran di Cardiff kepada Plaintif di New York
8
Okt – defendan menghantar surat
membatalkan tawaran 1 Okt
11
Okt – plaintif terima surat tawaran 1 Okt dan
menghantar telegram pada hari yang sama diikuti dengan surat penerimaan pada 15 Okt
20
Okt – surat
pembatalan defendan sampai kepada plaintif
Keputusan:
Telah
wujud satu kontrak antara pihak-pihak tersebut kerana pembatalan tawaran yang
diposkan pada 8 Okt hanya efektif pada 20 Okt sahaja. Lagipun plaintif telahpun
menerima tawaran defendan melalui telegram.
2.
Dengan tamatnya tempoh untuk membuat penerimaan samada tempoh tersebut
dinyatakan dalam tawaran dan jika tiada dalam tawaran, satu tempoh yang
difikirkan munasabah.
Fakta
Kes:
Defendan
memohon saham di dalam syarikat pada bulan Jun dan telah membayar deposit dalam
akaun bank syarikat. Tiada apa-apa yang berlaku hinggalah bulan November
apabila syarikat mmaklumkan defendan bahawa saham tersebut telah dilanggan
untuk beliau dan meminta menjelaskan baki harga yang patut dibayar. Defendan
enggan menerima saham tersebut.
Keputusan:
Mahkamah
memihak kepada defendan dan penolakan tersebut adalah betul. Ini kerana tawaran
itu hendaklah dijawab dalam masa yang munasabah. Tempoh antara Jun dan November
adalah jelas tidak munasabah.
3.
Melalui kegagalan pihak yang ingin membuat penerimaan untuk memenuhi pra-syarat
penerimaan.
4.
Melalui kematian atau tidak siuman pihak yang membuat tawaran jika fakta itu
sampai kepada pengetahuan pihak yang akan membuat penerimaan sebelum ia membuat
penerimaan.
Dalam
kes BRADBURY v MORGAN (1862)1 H&C 249 diputuskan bahawa kematian pembuat
tawaran tidak akan menamatkan tawaran sekiranya penerimaan telah dibuat tanpa
mengetahui kematiannya.
BUAT TAWARAN BARU BOLEH KONTRAK
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
9:16:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: