SSPN-i Plus

PERSEKUTUAN MALAYSIA - YANG TERSURAT, YANG TERSIRAT





PERSEKUTUAN MALAYSIA - YANG TERSURAT, YANG TERSIRAT

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Tujuan penggabungan adlah untuk membentuk satu kesatuan ekonomi dan politik di wilayah-wilayah berkenaan. Idea ini bukannya baru, sebelum ini British dan beberapa kumpulan tempatan pernah menyuarakan hasrat yang sama pada akhir abad ke 19. Idea Tunku diterima dengan baik tetapi banyak ranjau yang dilalui untuk merealisasikan Persekutuan Malaysia.

Perundingan awal berjalan dengan lancar. Rundingcara telah dibuat dalam dua peringkat: (a) Rundingan dua hala iaitu antara Persekutuan Malaya dengan Singapura dan (b) Peringkat pelbagai hala iaitu diantara pemimpin-pemimpin wilayah yang mungkin membentuk Malaysia.

Dalam mesyuarat serantau Persatuan Parlimen British yang diadakan di Singapura pada 23 Julai 1961 telah menerima konsep Malaysia dan menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia.

Ia dipengerusikan oleh Donald Stephen (anggota Majlis Undangan Sabah). Anggotanya ialah Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew (Singapura), Dato' Mustapha Dato' Harun (Sabah), Temenggung Jugah Anak Berieng (Sarawak) dan Dato' Setia Pangeran Ali (Brunei). Tujuan JPPM ialah:

a. Memberitahu orang ramai mengenai Malaysia.
b. Mengumpulkan sambutan mereka terhadap Malaysia.
c. Menyediakan memorandum mengenai cara pembentukan Malaysia.

JPPM telah memberi peluang kepada pemimpin Sabah dan Sarawak mengemukakan pandangan mengenai gagasan Malaysia. JPPM telah mengadakan 4 mesyuarat di Kota Kinabalu (21 Ogos 1961), Kuching (18 Disember 1961), Kuala Lumpur (6 Januari 1962) dan Singapura (1 Februari 1962). Hasil daripada rundingan yang dijalankan. Sarawak mengeluarkan kertas putih mengenai Malaysia pada 4 Januari 1962 dan Sabah pada 31 Januari 1962. Kemudian, satu memorandum disusun semula dan dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold pada 23 Februari 1962. Kandungan memorandum ini ialah:

a. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas perlembagaan Malaysia.
b. Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan.
c. Islam – agama rasmi tetapi rakyat bebas beragama.
d. Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain masih boleh digunakan.
e. Hak istimewa seperti orang Melayu diberi kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak.
f. Sabah, Sarawak berhak mengawal imigrasennya sendiri.
g. Perwakilan Parlimen berasaskan jumlah penduduk dan jumlah luas kawasan.

Memorandum ini disokong oleh rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu. Brunei tidak menyertai rancangan ini disebabkan Sultan Brunei menghadapi tekanan dari pemimpin A.M Azhari yang akan melancarkan pemberontakan jika bergabung dengan Tanah Melayu.

November 1961, satu perjanjian dicapai dengan Singapura yang mana Singapura sekarang adalah satu unit dari persekutuan yang dicadangkan dengan syarat-syarat istimewa dan autonomi yang lebih besar berbanding dengan unit lain. Singapura juga bersetuju untuk mempunyai wakil yang lebih kecil ke Parlimen.


Perjanjian tersebut diikuti rombongan Tunku ke London dimana konsep Malaysia dan penggabungan dengan Singapura diterima oleh pihak British dengan syarat pengkalan tentera di Singapura dikekalkan dibawah kawalan Britain dan rakyat wilayah-wilayah  terbabit bersetuju. Satu suruhanjaya bersama British Malaya ditubuhkan yang dinamakan Suruhanjaya Cobbold.

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Januari 1962. Ia dipengerusikan oleh Lord Cobbold (bekas Gabenor Bank of England). Ahli-ahlinya terdiri daripada Sir Anthony Abel dan Sir David Watherston iaitu wakil British dan Muhammad Ghazalie Shafie dan Dato' Wong Pow Nee iaitu wakil Tanah Melayu. Tugas utama suruhanjaya ini ialah:

a. Meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia.
b. Membuat syor-syor perlembagaan.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya dari 19 Februari sehingga 18 April 1962. Sebanyak 50 perjumpaan dengan 690 kumpulan orang ramai diadakan. Selain itu, 2000 atau lebih memorandum telah diterima. Pada 18 April 1962, laporan disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu dan British pada Jun 1962.

Pada 1 Ogos 1962, laporan ini diumumkan mengenai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak:

a. 1/3 menyokong kuat Malaysia
b. 1/3 menyokong dengan syarat
c. 1/3 hendak merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia

Dengan itu, suruhanjaya ini turut menyokong gagasan Malaysia dan mengesyorkan syor-syor Perlembagaan Malaysia seperti dibawah:

a. Nama persekutuan baru – Malaysia.
b. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas Perlembagaan Malaysia.
c. Kedudukan istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak dijamin.
d. Sabah dan Sarawak berhak memilih Ketua Negeri sendiri.
e. Penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam secepat mungkin.
f. Dasar pendidikan, ugama, imigresen, perwakilan Parlimen, kedudukan bumiputera, kewangan, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri di Sabah dan Sarawak ditentukan oleh Majlis Undangan Negeri masing-masing.
g. Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sehingga DUN masing-masing membuat keputusan.

Hampir semua syor diterima oleh British dan diumumkan pada 1 Ogos 1962, Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Jawatankuasa Antara Kerajaan akan ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia.


Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Malaysia. Pengerusinya ialah Lord Landsdowne dan Timbalan Pengerusinya ialah Tun Abdul Razak. Anggotanya terdiri daripada wakil British, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Wakil Sabah telah mengemukakan memorandum yang mengandungi 20 perkara. Antaranya ialah:

a. Agama Islam – agama rasmi persekutuan. Tiada agama rasmi di Sabah.
b. Bahasa Inggeris – bahasa rasmi Sabah; Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan.
c. Imigresen orang asing Sabah di bawah kuasa negeri Sabah.
d. Sistem pendidikan Sabah dikekalkan.
e. Perwakilan Parlimen harus mengambil kira keluasan kawasan dan bilangan penduduk.

Pemimpin Sarawak tidak mengemukakan memorandum tetapi bersetuju dengan memorandum yang dikeluarkan oleh Sabah.

Pada 27 Februari 1963 JAK telah mengeluarkan laporan. Pada 8 Mac 1963 laporan telah dibentangkan di Majlis Negeri Sarawak dan pada 13 Mac 1963 Dibentangkan di Sabah. Kedua-dua negeri menerima laporan ini dan laporan ini seterusnya diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963.



PENENTANGAN GAGASAN MALAYSIA

Apabila JPPM dan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan sokongan kepada penubuhan Malaysia, Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah bagi waris Sultan Sulu pada 22 Jun 1962. Filipina mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1874. Pajakan ini telah dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Kerajaan Filipina juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Tanah Melayu tetapi ditolak. Hubungan diplomatik Filipina-Tanah Melayu menjadi genting. Walau bagaimanapun, usaha-usaha dijalankan untuk menyelesaikan persengketaan. Akhirnya, Filipina juga mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966.


Pada mulanya, Indonesia mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, PKI di bawah D.N. Aidit menyifatkan ia merupakan satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia. Setelah tercetusnya pemberontakan Brunei, Presiden Indonesia, Sukarno menerima tekanan hebat dari PKI dan mengubah sikap serta menentang gagasan Malaysia. Aidit telah melawat ke Tanah Melayu dan menghasut rakyat dan tentera memberontak. Hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia menjadi renggang. Pada 20 Januari 1963, Dr. Subandrio mengumumkan dasar konfrontasi terhadap gagasan Malaysia.

Kemudian, Indonesia bersetuju meminta Suruhanjaya PBB bagi meninjau semula pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia. Laporan PBB telah dikeluarkan pada 14 September 1963 menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia tetapi Indonesia enggan mengakui.

16 September 1963, Malaysia diisytiharkan secara rasminya. Pada hari ini, Indonesia melancarkan konfrontasi dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu.

Pada 10 hb September 1963, Kerajaan Negeri Kelantan telah membawa satu tindakan  undang-undang memohon satu deklarasi bahawa Perjanjian Malaysia dan Akta Malaysia adalah tidak sah atau secara alternatifnya tidak mengikat Kerajaan Negeri Kelantan.(kes: Government of the State of Kelantan v the Goverment of Federation of Malaya & Tunku Abdul Rahman al-Haj [1963] MLJ 355) Kerajaan Negeri Kelantan memohon satu injuksi sementara untuk menghalang perlaksanaan instrumen berkaitan sementara menunggu perbicaraan penuh perkara tersebut.

Intipati kepada kes Kerajaan negeri ialah Perjanjian dan Akta tersebut telah menghapuskan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu dengan perluasan persekutuan, dengan menerima tiga negeri baru dengan syarat-syarat yang berbeza dengan negeri-negeri asal persekutuan tanpa membuat rundingan terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

Hakim Thomson menolak permohonan ini. Beliau memutuskan bahawa pembentukan Malaysia dan penggubalan Akta bukan sesuatu yang “ fundamentally revolutionary” yang memerlukan ‘syarat yang perlembagaan sendiri tidak pernah tetapkan dipenuhi’ iaitu untuk berunding dengan Kerajaan Negeri Kelantan, atau mana-mana kerajaan negeri yang lain dengan syarat perlembagaan yang terkemudian hendaklah diperhati.

Apa yang disuarakan oleh pihak Kerajaan Negeri ialah Perjanjian Malaysia sebenarnya bukan pindaan tetapi satu penubuhan sebuah Negara baru kerana kandungan perjanjian tersebut tidak sama dengan peruntukan perlembagaan Tanah Melayu 1957. Kes ini menjadi satu ‘landmark case’ kepada doktrin struktur asas (basic structure doctrine) iaitu berkait dengan pindaan undang-undang di Parlimen.


Setelah kes ini selesai dan semua rintangan berjaya diatasi, barulah Malaysia dimasyhurkan pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman.




PERSEKUTUAN MALAYSIA - YANG TERSURAT, YANG TERSIRAT PERSEKUTUAN MALAYSIA - YANG TERSURAT, YANG TERSIRAT Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 10:14:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.