AKTA SYARIKAT 2016 DAH BERKUATKUASA
27 Januari 2017
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menguatkuasakan Akta Syarikat 2016
pada 31 Januari ini bagi menggantikan Akta Syarikat 1965.
Pengerusinya, Datuk Seri
Jamil Salleh, berkata akta syarikat yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu
bakal memberikan suntikan baru ke arah pemudahcaraan menjalankan perniagaan di
Malaysia.
Beliau berkata,
inisiatif memodenkan kerangka perundangan korporat ini diharap dapat
membudayakan semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat awam memandangkan
terdapat pelbagai polisi yang bakal memberikan impak positif terhadap syarikat.
"Antaranya,
pengenalan konsep penubuhan syarikat oleh seorang pemegang saham dan seorang
pengarah adalah satu pemudahcaraan bagi memulakan perniagaan.
"Di bawah akta
baharu ini, terdapat pelbagai 'deregulatory measures' yang diperkenalkan untuk
membolehkan syarikat beroperasi secara lebih efisien. Sebagai contoh, mesyuarat
agung tahunan tidak lagi perlu diadakan oleh syarikat persendirian, sebaliknya
resolusi syarikat boleh dibuat melalui resolusi edaran sepenuhnya,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamil berkata, bagi
tujuan melicinkan lagi pelaksanaan Akta Syarikat ini, Peraturan-Peraturan
Syarikat 2017 juga akan dikuatkuasakan pada tarikh yang sama.
Beliau berkata,
peraturan itu menggariskan cara dan bagaimana syarikat membuat penyerah
simpanan dokumen dengan SSM serta yuran yang berkaitan.
"SSM juga akan menguatkuasakan
Akta Skim Kepentingan 2016 pada tarikh yang sama. Akta Skim Kepentingan ini
adalah platform alternatif bagi pengumpulan dana oleh syarikat-syarikat melalui
penawaran skim kepentingan kepada pihak awam," katanya.
Orang ramai boleh
melayari laman web www.ssm.com.my
untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung Akta Syarikat 2016,
Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 serta dokumen atau borang-borang yang perlu
digunakan untuk tujuan penyerah simpanan dengan SSM.
Bernama
AKTA SYARIKAT 2016 DAH BERKUATKUASA
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
7:16:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: