KE MANA HALA TUJU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH?
Ke Mana Hala Tuju
Kesalahan Jenayah Syariah?
SEJARAH membuktikan
undang-undang kesalahan jenayah syariah adalah berasaskan objek undang-undang,
iaitu pengaturan untuk orang Islam dan bukannya berasaskan kepada intipati
undang-undang.
Dalam erti kata lain, ia
tidak digubal mengikut kerangka perundangan jenayah Islam klasik. Apabila kuasa
diberikan kepada negeri oleh Perlembagaan Persekutuan untuk membuat
undang-undang dan penghukuman kesalahan dalam kalangan orang menganut agama
Islam terhadap perintah agama, ia secara khusus meneruskan kesinambungan kuasa
yang diberi kepada Sultan oleh pentadbir British untuk menghukum orang Islam
yang melanggar hukum syarak.
Terma 'kesalahan yang
dilakukan orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama', tidak
bermaksud menerapkan kesalahan jenayah berdasarkan hukuman hudud, qisas dan
taazir. Jauh sekali untuk memasukkan kesalahan jenayah yang sedia termaktub di
bawah Kanun Keseksaan. Sebagai kesalahan terhadap perintah agama yang
membabitkan penganut agama Islam sahaja, maka kesalahan itu bukan jenayah dalam
erti kata sebenar, sebaliknya bersifat separa jenayah dan diperuntukkan hukuman
sesuai dengan statusnya sebagai kesalahan separa jenayah seperti denda atau
jika agak teruk boleh dipenjara atau sebatan.
Kuasa Sultan jatuh
hukuman
Sebelum merdeka,
pengkanunan kesalahan tertentu sudah dilakukan sedikit demi sedikit. Menerusi
beberapa perjanjian antara Sultan dan pentadbir British seperti Perjanjian
Pangkor 1874 dan Memorandum Raffles kepada Sultan Johor, pihak berkuasa
tempatan diberi mandat mengurus hal ehwal agama dan adat Melayu.
Satu daripadanya ialah
kuasa kepada Sultan menghukum orang yang melanggar perintah hukum syarak.
Sebagai contoh di Perak, Perintah Dalam Majlis 1885, memperuntukkan peraturan
mengenai solat Jumaat dan hukuman bagi zina dalam Perintah Dalam Majlis Nombor
1. Di Selangor, sembahyang Jumaat di masjid termaktub di bawah Peraturan Nombor
11 1894, manakala di Negeri Sembilan wujud satu undang-undang, iaitu Perintah 9
Ogos 1887 Bagi Peraturan Kehadiran Ke Masjid.
Di Kelantan, ada
undang-undang seperti Notis Nombor 5 Kawalan Pelacuran di Kota Bharu 1916,
Notis Larangan Judi Kepada Semua Warganegara 1917 dan Notis Larangan
Penyalahgunaan Ayat al-Quran Dalam Persembahan Teater 1917. Antara 1906 hingga
1909, kebanyakan undang-undang di Negeri-Negeri Selat diikuti pemakaiannya
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di
antara 1920-1933.
Sejak 1934, seluruh Tanah Melayu menggunakan undang-undang
digunakan di Negeri-Negeri Selat. Pada waktu itu, Undang-Undang Kesalahan Orang
Islam (Muhammedan (Offences) Law) diperkenalkan. Selangor, Pahang dan Negeri
Sembilan menggunakan Enakmen Undang-Undang Orang Islam, Bab 198, sebelum
digantikan Enakmen (Kesalahan-Kesalahan) Orang Islam 1937.
Di Negeri Sembilan,
ini dikenali sebagai Arahan Majlis (Kesalahan-Kesalahan) Orang Islam 1938. Di
Selangor pula dikenali sebagai Enakmen Kesalahan-Kesalahan Orang Islam 1938 dan
di Perak pula diperkenalkan Undang-Undang Kesalahan Syarak 1939, kemudian
digabungkan di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952, enakmen
pertama diluluskan untuk mengatur pentadbiran hal ehwal orang Islam di
Malaysia.
Perhatikan istilah
Muslim Law, bukan Islamic Law yang digunakan. Di Terengganu wujudnya Enakmen
Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak 1955, Pahang pada 1956 dan seterusnya di
Kelantan dengan wujudnya Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan 1966 mengkhususkan satu bahagian untuk peruntukan kesalahan.
Era 1980-an menyaksikan
pelabelan 'syariah' apabila semua undang-undang hal ehwal agama Islam dinamakan
sebagai undang-undang Islam atau syariah. Hukum Syarak ditukar kepada
undang-undang syariah, kesalahan dalam kalangan orang Islam ditukar kepada
undang-undang kesalahan jenayah syariah dan sebagainya.
Sehingga kini, pembuat
undang-undang merangka lebih 40 pelanggaran terhadap suruhan agama seperti
tidak solat Jumaat, tidak bayar zakat, yang berbentuk maksiat seperti khalwat,
pelacuran dan seumpama dengannya dan yang berkaitan penghinaan terhadap akidah
seperti ajaran salah dan murtad.
Kesahan kesalahan
jenayah syariah juga pernah dicabar di Mahkamah Persekutuan, namun semuanya
lulus ujian kesahan itu.
Tingkat had hukuman
Bagi menyelaraskan takat hukuman,
Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 digubal dan mengalami beberapa
pindaan bagi meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah yang
dahulu dikenali sebagai Muslim Court atau Mahkamah Kadi. Pindaan pada 1984
meningkatkan hukuman kepada maksimum RM5,000 denda, tiga tahun penjara dan enam
kali sebatan.
Negeri mengambil masa
lama meminda peruntukan hukuman lebih tinggi dalam enakmen kesalahan jenayah
syariah. Selepas memahami sejarah serta sifat kesalahan jenayah syariah, amat
wajar dipersoalkan ke mana hala tuju kesalahan jenayah syariah ini? Sejajar
dengan polemik RUU 355, sayugia ditanya apakah peruntukan undang-undang sedia
ada memadai? Apakah semua peruntukannya jelas dan memudahkan penguatkuasaannya?
Tinjauan mendapati, ada banyak lagi ruang yang boleh ditambah baik khususnya
bagi membolehkan kesalahan itu mudah penguatkuasaannya.
Oleh kerana sifat
kesalahan syariah separa jenayah, maka pemulihan iman dan pemantapan akhlak
mungkin sesuai diterapkan sebahagian hukuman mendidik masyarakat agar lebih
patuh kepada hukum syarak, berbanding peningkatan tempoh pemenjaraan sehingga
30 tahun atau denda sehingga RM100,000. Sifat ketaaziran kesalahan jenayah
syariah memungkinkan ia dipinda ke arah lebih baik secara holistik.
Pensyarah Kanan, Jabatan
Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Sumber: Berita Harian SABTU, 25 MAC 2017
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/263914
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/263914
KE MANA HALA TUJU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH?
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
12:05:00 PG
Rating:

Tiada ulasan: