SEBATAN SYARIE BERI PENGAJARAN
Sebatan Syarie
Beri Pengajaran
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
8 MAC 2017
Gambar hiasan.
TERDAPAT tanggapan umum yang mengatakan
hukuman sebat yang dikenakan dalam kesalahan jenayah syariah adalah kejam
kerana jumlah sebatan yang terlalu banyak. Bahkan jumlah tersebut melampaui
jumlah yang diperuntukkan dalam hukuman sebat bagi kesalahan undang-undang jenayah
sivil.
Namun, para ulama
fiqah telah membahaskan secara terperinci dan meletakkan garis panduan yang
jelas tentang teknik bagaimana hukuman sebat dilaksanakan. Imam Al-Nawawi dalam
kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab menjelaskan bahawa dalam istilah bahasa
Arab, sebatan disebut sebagai al-jald yang berasal daripada perkataan al-jild
yang bermaksud kulit manusia.
Beliau menegaskan
bahawa sebatan hanya melibatkan bahagian kulit luaran manusia sahaja dan tidak
melibatkan bahagian dalaman. Oleh sebab itu, sebatan yang memecahkan kulit
sehingga menampakkan daging adalah bercanggah dengan kehendak dan maksud
pelaksanaan sebatan dalam perundangan Islam.
Secara umumnya
terdapat tiga kesalahan jenayah syariah dalam Islam yang boleh dikenakan
hukuman sebat iaitu pertama kesalahan qazaf (hukuman yang dikenakan terhadap
individu Muslim yang menuduh Muslim lain berzina tetapi gagal mendatangkan
bukti) yang dikenakan sebanyak 80 kali sebatan.
Kedua kesalahan
minum arak yang dikenakan sebanyak 40 kali sebatan. Pada zaman Khalifah Umar
al-Khattab kesalahan minum arak ditambah sebanyak sekali ganda sebatan
menjadikannya 80.
Umar melakukan
ijtihadnya dengan menambah kadar hukuman tersebut kerana keperluan pada zaman
tersebut serta keadaan wilayah Islam ketika itu yang semakin luas dan
berkembang.
Kaedah sama dipakai
pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib. Namun Ali mengambil kedua-dua pendapat
dan memilih antara keduanya sama ada 80 kali sebatan atau 40 berasaskan
pertimbangan dan kesesuaian hukuman.
Ketiga adalah
kesalahan zina dilakukan oleh pesalah qhayr muhsan (penzina yang belum
berkahwin) yang dikenakan hukuman 100 kali sebatan.
Menurut Imam
al-Nawawi alat yang digunakan untuk sebatan adalah berupa rotan yang bersifat
pertengahan iaitu tidak terlalu tebal, tidak terlalu nipis, tidak terlalu berat
dan tidak terlalu ringan.
Rotan yang
digunakan juga tidak boleh mempunyai penyangkut dan tidak bercabang dua dan
tiga. Manakala Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh Islami wa adillatuh menyatakan
bahawa rotan yang digunakan tidak terlalu panjang hingga menyeret ke tanah.
Manakala individu
yang ditugaskan menyebat pesalah tidak harus mengangkat tangannya sehingga
menampakkan bahagian bawah bahu dan ketiak. Ini bermaksud, sebatan tidak boleh
dilakukan secara kuat.
Oleh sebab itu,
para fuqaha’ sepakat bahawa sebatan tidak boleh melukakan pesalah. Selain itu
juga, tidak harus dilakukan sebatan pada bahagian anggota badan yang sama
secara berkali-kali, sebaliknya disebat juga pada bahagian berlainan kecuali
muka, kemaluan dan kepala.
Sebatan juga tidak
boleh dilaksanakan dalam keadaan cuaca terlalu panas dan terlalu sejuk hingga
memudaratkan pesalah. Begitu juga, bagi pesalah wanita yang mengandung atau
bersalin atau sedang menyusukan anak, hendaklah ditangguh sehingga pesalah
bersedia menjalani hukuman. Pesalah juga mesti berpakaian lengkap menutup aurat
ketika menjalani hukuman sebat.
Ibn Qudamah
al-Maqdisi dalam kitab al-Mughnipula menjelaskan, hukuman sebat hendaklah
dijalankan di tempat terbuka selain masjid kerana dibimbangi berlaku kekotoran
di sekitar masjid.
Namun, jika tetap
dijalankan juga hukuman tersebut di masjid, hukuman tersebut dikira sah kerana
sudah memenuhi maksud hukuman iaitu berkumpul di tempat awam dan memberi
pengajaran kepada umat Islam supaya tidak mengulangi perbuatan yang dilakukan
pesalah.
Imam Abu Hanifah
dan Imam al-Shafie, menetapkan pesalah yang menjalani hukuman sebatan hendaklah
berdiri tegak. Manakala, Imam Malik bin Anas dan Imam Ahmad bin Hanbal
berpendapat hendaklah duduk. Khilaf berlaku kerana ketiadaan nas jelas tentang
kedudukan pesalah semasa menjalani hukuman.
Khatib Sharbini
pula dalam kitab Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa sebatan perlu ditangguhkan
sekiranya pesalah sakit. Jika sakit itu tidak boleh sembuh, pesalah berkenaan
tidak boleh disebat dengan menggunakan rotan, sebaliknya dengan tangkai
daripada tumbuh-tumbuhan. Manakala jika sakit tersebut boleh sembuh, maka
hukuman kepada pesalah hendaklah ditangguhkan sehingga pesalah berkenaan
kembali sihat.
Justeru,
perundangan Islam mempunyai seribu satu hikmah dan pengajaran supaya umat Islam
tidak mengulangi apa yang dilakukan oleh para pesalah. Manakala bagi pesalah,
hukuman yang dijatuhkan adalah supaya mendatangkan keinsafan dan mengembalikan
takwa dalam diri mereka bagi mendapatkan keampunan ALLAH.
Sumber: SInar Harian 8 Mac 2017
Sumber: SInar Harian 8 Mac 2017
SEBATAN SYARIE BERI PENGAJARAN
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
10:07:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: