PESAN BAPA KEPADA ANAK
PESAN LUKMANULHAKIM KEPADA ANAKNYA
Hai anakku;
ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia
yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah
lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya
adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
Orang – orang
yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan
mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang
insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima
kemulian dari ALLAH juga.
Hai anakku;
orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada
ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan
selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
Hai anakku;
seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka
marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
Jauhkan dirimu
dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina
di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
Dan selalulah
berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai
ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah
engkau akan terlepas daripada sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
Hai anakku; seorang
pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan
seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal-hal
yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula
itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu
mengerti.
Hai anakku;
engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat
berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai
tetangga (jiran) yang jahat.
Hai anakku;
janganlah engkau mengirimkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila
tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi
utusan.
Jauhilah
bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging
burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang
berbahaya.
Hai anakku;
bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis
perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan
mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan
hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
Janganlah
engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang
terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada
anjing sahaja.
Hai anakku;
janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah
langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu
menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
Makanlah
makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu
dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
Hai anakku;
bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi
engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang
mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia
masih mahu menambahkannya.
Hai anakku;
bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan
berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha
menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
demikian, maka berhati-hatilah.
Selalulah baik
tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau
akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah
memberikan barang yang berharga.
Hai anakku;
bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak
mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan
sesuatu darimu.
Jadikanlah
dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian
atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan
mendatangkan cela pada dirimu.
Hai anakku;
janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah
dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja.
Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan
dunianya.
Hai anakku; usahakanlah
agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar,
kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara,
usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
Hai anakku;
janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan,
janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya
sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
Barang sesiapa
yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi
racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu
akan menyesal.
Hai anakku; bergaullah
rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya
kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati
ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur
lalu disirami air hujan.
Hai anakku; ambillah
harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya
untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau
bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang
lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya
kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.
Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak
akan membinasakan dirimu.
PESAN BAPA KEPADA ANAK
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
12:09:00 PG
Rating:

Tiada ulasan: