RAKYAT MALAYSIA BELANJA RM 6.8B UNTUK TELEFON
Rakyat Malaysia belanja RM6.8bilion untuk telefon
6 JULAI 2017
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia membelanjakan
kira-kira RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar tahun lepas, demikian
menurut kajian organisasi penyelidikan pemasaran terbesar Jerman, GfK.
Terminal Jualan GfK menunjukkan peningkatan jualan
ketara daripada RM5.4 bilion pada 2015, dengan kenaikan terbesar disumbangkan
oleh model telefon pintar pertengahan yang berharga di antara RM900 ke RM1,050,
kata pengarah urusan organisasi itu bagi Asia Tenggara, Stanley Kee dalam satu
kenyataan.
Beliau berkata rekod itu dibuat bermula Mac 2016
hingga Februari 2017.
“Telefon pintar berjenama dari China merupakan
pemacu utama kepada peningkatan permintaan peranti mudah alih tahun lepas, yang
mana ia juga mencatatkan jumlah tertinggi jenama telefon pintar baharu memasuki
pasaran.
“Dengan peningkatan rangkaian mudah alih baru-baru
ini, pengguna di negara ini sering menggunakan telefon pintar mereka bagi
aktiviti seperti membeli-belah dalam talian, media sosial dan pencarian umum
dalam internet,” katanya.
Terminal jualan GfK juga menunjukkan 37 peratus
telefon pintar yang dijual di seluruh negara semasa tempoh itu mempunyai skrin
bersaiz sekitar 5.01 hingga 5.6 inci, berbanding 21 peratus pada tahun
sebelumnya, menjadikan peningkatan saiz skrin sebagai segmen terpantas dalam
masa 12 bulan.
Kee berkata aplikasi membeli-belah juga semakin popular
serta turut membuka laluan kepada pembayaran mudah alih.
“Lebih ramai pengguna hari ini menyumbang kepada peningkatan dagangan
mudah alih (m-dagang) di Malaysia, membuat bayaran menerusi peranti mudah alih
untuk membeli barangan runcit, tiket penerbangan dan perkhidmatan seperti Grab
dan Uber,” katanya.
Beliau berkata pada 2016, kajian pengguna Pemantau
Pembeli Elektronik GfK yang dilaksanakan di rantau Asia Pasifik, menunjukkan
kebanyakan responden Malaysia menentukan harga dan jenama sebagai faktor utama
dalam pembelian telefon pintar.
“Memandangkan pengguna Malaysia bergantung kepada
harga, kami percaya kategori pertengahan telefon pintar akan terus mendominasi
pasaran tahun ini,” kata Kee. – Bernama
Sumber:
RAKYAT MALAYSIA BELANJA RM 6.8B UNTUK TELEFON
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
12:42:00 PG
Rating:

Tiada ulasan: