SSPN-i Plus

MEMAHAMI HUKUM HUDUD



HUKUM HUDUD


PENGERTIAN HUDUD
Pengertian dari Segi Bahasa
Hudud adalah kata jamak dari perkataan had, ia bererti menahan antara dua perkara atau mencegàh. Ia juga membawa maksud halangan.

Pengertian dari Segi Istilah 
Hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan AsSunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah S.W.T. Kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah. 

JENIS-JENIS JENAYAH HUDUD
(a)  Zina
Persetubuhan haram secara sengaja tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan. Ibn Rusyd menyatakan bahwa zina adalah semua hubungan seksual (jima’) di luar pernikahan dan tidak pada nikah syubhat dan hamba. Ini adalah definisi yang disepakati oleh jumhur ulamak meskipun masih ada perbahasan mengenai nikah syubhat.

(b)  Qazaf
Menuduh seorang yang suci dan terpuji dengan tuduhan zina. Ia juga merangkumi tuduhan zina yang tidak disertakan dengan bukti dan keterangan yang lengkap. Malah ia juga merangkumi tuduhan menafikan keturunan seseorang.

(c)  Minum Arak
Arak adalah segala bahan yang memabukkan sebab meminumnya, baik diproses dari buah tamar, anggur, gandum, nira, tapai, beras atau sebagainya. Tidak kira mabuk itu kerana meminum atau tidak, banyak atau sedikit tetapi yang penting minuman tersebut adalah memabukkan.
Minum arak secara yang lebih luas ialah meminum minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal.

(d)  Mencuri
Mencuri bermaksud mengambil barang orang lain secara sembunyi atau tanpa izin pemilik atau mengambil tanpa pengetahuan pemiliknya dari tempat simpanan yang sepatutnya.
Ia juga bermaksud mengambil barangan orang lain dengan cara sembunyi atau helah yang dilakukan oleh orang yang cukup umur dan pilihan sendiri daripada tempat simpanan yang sesuai dan termaklum tidak dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ atau tidak dengan cara syubhat.

(e)  Merompak dan Menyamun (Hirabah)
Menurut pengertian istilah ialah tindakan mengganggu laluan awam dengan tujuan untuk menakut-nakutkan manusia atau merampas harta orang dengan paksaan dan kekerasan.
Ia juga diberi takrifan sebagai serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakutkan dengan cara terang terangan, angkuh dan menggunakan kekuatan di kawasan yang terpencil daripada bantuan.
Dalam bahasa Arab pelaku jenayah ini dipanggil qattau at-tariq yang bererti pemutus jalan iaitu orang ramai terpaksa mengealk melalui jalan tersebut, seolah-olah mereka telah memutuskan jalan.

(f)   Memberontak
Mengikut istilah umum ialah satu kegiatan menentang atau cubaan rampasan kuasa terhadap pemerintah yang sah di sisi syara’, samada dengan menggunakan senjata atau merancang serta melancarkan peperangan secara zalim.
Dlam Bahasa Arab ia dipanggil bughah atau baghyu yang bermaksud zalim. Apa yang dimaksudkan dengan bughah ialah sekumpulan umat Islam yang menentang pemerintah Islam atau melanggar perintahnya atau menghalang hak Allah ataupun hak manusia.

(g)  Murtad
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab bermaksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.
Dari segi syarak murtad ialah tindakan seseorang beralih daripada agama Islam kepada agama yang lain. Murtad adalah jenis kufur yang paling keji dan membabitkan hukuman dan implikasi yang paling berat.

 Pada entri yang seterusnya akan dijelaskan setiap kesalahan dan hukuman yang disediakan bagi setiap kesalahan. 
MEMAHAMI HUKUM HUDUD MEMAHAMI HUKUM HUDUD Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 12:35:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.