SSPN-i Plus

MEMAHAMI AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012 BHG 2

Sambungan dari entri lepas .....

3. KANDUNGAN  AKTA
Akta ini dibahagikan kepada enam bahagian iaitu:
1
Permulaan
2
Hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata
3
Tanggungjawab penganjur, peserta dan polis
4
Kehendak dalam menganjurkan perhimpunan
5
Penguatkuasaan
6
Pelbagai

Hak Untuk Menganjur atau Menyertai Perhimpunan
Seksyen 2 memperuntukkan hak warganegara untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tetapi tertakluk kepada sekatan tertentu bagi memastikan keselamatan negara serta perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Hak dan kebebasan orang lain termasuklah:
a.    Hak untuk menikmati secara aman hartanya
b.    Hak kepada kebebasan bergerak
c.    Hak untuk menikmati persekitaran semula jadi
d.    Hak untuk menjalankan perniagaan

Seksyen 4 menjelaskan hak untuk menganjur atau menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata tidak terpakai kepada:
a.    Bukan warganegara;
b.    Perhimpunan yang diadakan di tempat-tempat larangan dan dalam jarak 50 meter daripada had tempat-tempat larangan;
c.    Bagi Protes jalanan; dan
d.    Seseorang di bawah umur 21 tahun tidak boleh menjadi penganjur.
e.    Kanak-kanak dibawah umur 15 tahun tidak boleh menjadi peserta perhimpunan
Maksud Tempat larangan ialah :
a) Kawasan laranganyang ditetapkan dibawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298)
b) Tempat-tempat yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga Akta iaitu:
1) Empangan, takungan dan kawasan tadahan air
2) Loji rawatan Air
3) Stesen Penjana Elektrik
4) Stesen Minyak
5) Hospital
6) Balai Bomba
7) Lapangan Terbang
8) Landasan kereta api
9) Terminal Pengangkutan Awam Darat
10) Pelabuhan, terusan, limbungan, lembaga, jeti, jambatan dan marina
11) Tempat ibadat
12) Tadika dan sekolah
Protes Jalanan pula ialah suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perjumpaan di tempat yang ditentukan dan melibatkan perarakan atau perhimpunan berama-ramai bagi maksud membantah atau memajukan suatu tujuan atau tujuan-tujuan tertentu.
Perhimpunan yang boleh disertai oleh kanak-kanak dibawah Jadual Kedua Akta:
1) Perhimpunan keagamaan
2) Perarakan pengebumian
3) Perhimpunan berhubung dengan adat
      4) Perhimpunan yang diluluskan oleh Menteri

Pemberitahuan oleh Penganjur.
Penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada pegawai yang menjaga daerah polis dimana perhimpunan itu hendak diadakan 10 hari sebelum tarikh perhimpunan. - Seksyen 9 (1). Sekiranya penganjur tidak memberikan notis sebagaimana di atas, ia menjadi satu keslahan, dan jika sabit , boleh dihukum denda tidak melebihi RM 10,000.00 – Seksyen 9 (5).
Sebelum wujud Akta ini, Seksyen 27 Akta Polis adalah terpakai. Peruntukan Seksyen 27 Akta Polis ini ialah mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan mestilah terlebih dahulu mendapatkan permit daripada OCPD daerah tersebut sebelum perhimpunan diadakan. Sekiranya perhimpunan diadakan sebelum mendapat permit, perhimpunan itu adalah suatu perhimpunan haram dan sesiapa yang menyertai perhimpunan tersebut melakukan kesalahan di bawah akta tersebut. Maka, tiada perhimpunan boleh diadakan tanpa mendapatkan permit terlebih dahulu. 
Penganjur ialah seseorang yang bertanggungjawab bagi penganjuran suatu perhimpunan, termasuk mengaturkan, mengadakan, mengumpulkan atau membentuk perhimpunan, atau yang bertanggungjawab bagi pengendalian perhimpunan.   
Akan tetapi jika perhimpunan itu diadakan pada tempat yang ditetapkan atau jenis perhimpunan itu termasuk dalam Jadual Ketiga Akta, notis tersebut tidak perlu diberikan.
Tempat perhimpunan yang ditetapkan ialah tempat yang telah ditetapkan oleh menteri dimana menteri boleh menetapkan mana-mana tempat sebagai suatu tempat perhimpunan ditetapkan dan membuat pemberitahuan dalam warta. – Seksyen 25
Jadual Ketiga Akta telah menyenaraikan perhimpunan yang tidak perlu dibuat pemberitahuan, iaitu:
a.    Perhimpunan keagamaan
b.    Perarakan pengebumian
c.    Majlis perkahwinan
d.    Rumah terbuka semasa perayaan
e.    Pertemuan keluarga
f.     Hari keluarga yang diadakan oleh majikan bagi mendapat manfaat pekerjanya dan keluarga mereka
g.    Mesyuarat tahunan dan persatuan
Pemberitahuan tersebut hendaklah dibuat dalam borang dibawah jadual Keempat Borang, ditandatangani oleh penganjur dan satu salinan persetujuan pemunya tau penghuni tempat berkenaan. (seksyen 10)
Pegawai yang menjaga daerah polis hendaklah mengambil langkah untuk memaklumkan kepada orang yang mempunyai kepentingan dalam masa 24 jam dengan cara:
      i.        Menampal notis pada lokasi
     ii.        Memaklumkan dengan apa cara lain
Orang yang mempunyai kepentingan boleh memaklumkan kebimbangan atau bantahan dalam masa 48 jam secara bertulis. Polis akan mengambil kira kebimbangan tersebut bersama-sama  syarat-syarat dan sekatan.(seksyen 12)
Pegawai yang menjaga daerah polis boleh pada bila-bila masa selepas menerima pemberitahuan, memanggil penganjur untuk berjumpa bagi menasihati penganjur tentang perhimpunan itu. (seksyen 13)
Pegawai yang menjaga daerah polis perlu memberi respons kepada pemberitahuan perhimpunan itu dalam masa lima hari dan hendaklah dalam respons itu memaklumkan penganjur tentang sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan. Jika tidak ada respon tersebut, perhimpunan akan diteruskan seperti pemberitahuan.(seksyen 14)


Tanggungjawab Penganjur
Seksyen 6 penganjur adalah bertanggungjawab terhadap perkara-perkara seperti berikut:
a.    Memastikan perhimpunan mematuhi APA 2012 dan undang-undang lain yang berkaitan.
b.    Memastikan penganjuran dan pengendalian perhimpunan tidak melanggar APA 2012, undang-undang bertulis yang lain atau apa-apa arahan yang dikeluarkan di bawah Akta tersebut.
c.    Memastikan penganjur atau mana-mana orang menyertai perhimpunan tidak melakukan perbuatan atau mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan serta mengganggu ketenangan orang awam.
d.    Memastikan penganjur atau peserta perhimpunan tidak melakukan kesalahan di bawah   undang-undang bertulis.
e.    Memastikan penganjuran dan pengendalian perhimpunan mengikut pemberitahuan perhimpunan yang diberikan di bawah subseksyen 9(1) dan Seksyen 15 APA 2012.
f.     Melantik beberapa orang yang perlu untuk bertanggungjawab bagi mengendalikan perhimpunan dengan teratur.
g.    Bekerjasama dengan pihak berkuasa awam untuk memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan.
h.    Memastikan perhimpunan tidak akan membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta dan alam sekitar.
i.      Memastikan perhimpunan tidak akan menyebabkan kesusahan kepada orang awam.
j.      Memastikan pembersihan tempat perhimpunan atau menanggung kos pembersihan tempat perhimpunan.
k.    Dalam perhimpunan serentak atau perhimpunan balas, memastikan penganjuran perhimpunan tidak menghalang secara spesifik perhimpunan yang satu lagi daripada diadakan atau mengganggu penganjuran perhimpunan itu.

Perhimpunan serentak ialah dua perhimpunan atau lebih yang diadakan pada masa, tarikh dan tempat yang sama, tetapi tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain. Perhimpunan balas ialah suatu perhimpunanya ng dianjurkan untuk menyampaikan pertentangan terhadap maksud yang perhimpunan lain diadakan dan diadakan pada masa, tarikh atau tempat yang sama atau lebih kurang sama dengan tempat itu.

Tanggungjawab Peserta
Peserta ialah seorang yang dengan sengaja atau rela hadir bagi maksud suatu perhimpunan. Seksyen 7 telah menggariskan tanggungjawab peserta yang menghadiri perhimpunan seperti berikut:
Seseorang peserta hendaklah;
i) Mengelak daripada mengendalikan atau menghalang mana-mana perhimpunan;
ii) Tidak berkelakuan secara menyakitkan hati atau menggunakan kata-kata kesat terhadap mana-mana individu;
iii) Tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan atau apa-apa kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan di kalangan orang awam atau yang mengganggu ketenangan orang awam;
iv) Tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis di mana-mana perhimpunan
v) Tidak menyebabkan kerosakan kepada harta benda; dan
vi) Mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh polis, penganjur atau mana-mana orang yang dilantik oleh penganjur yang bertanggungjawab bagi mengendalikan perhimpunan yang teratur.
Tanggungjawab Polis
Seksyen 8 menetapkan seorang pegawai polis boleh mengambil apa-apa langkah yang difikirkan perlu untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur mengikut akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.


Sekatan Dan Syarat
Ketua Polis Daerah boleh mengenakan sekatan dan syarat ke atas perhimpunan bagi menjaga keselamatan, perlindungan hak dan kebebasan orang lain serta ketenteraman awam (seksyen 15).
Sekatan dan syarat yang dikenakan adalah berhubung dengan:
a.    Tarikh, masa dan tempoh perhimpunan.
b.    Tempat perhimpunan.
c.    Cara perhimpunan.
d.    Kelakuan peserta semasa perhimpunan.
e.    Pembayaran kos pembersihan akibat daripada mengadakan perhimpunan.
f.     Faktor alam sekitar, sensitiviti budaya, agama, kepentingan sejarah yang ada    pada tempat perhimpunan.
g.    Kebimbangan dan bantahan orang yang mempunyai kepentingan.
h.    Perkara lain yang difikirkan sesuai bagi Ketua Polis Daerah berhubung dengan perhimpunan.

Mana-mana orang yang tidak mematuhi sekatan dan syarat melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.
Rakaman Oleh Pihak Polis Dan Media
Seksyen 23 pula membenarkan pegawai polis membuat sebarang bentuk rakaman mengenai perhimpunan manakala Seksyen 24 membenarkan mana-mana wakil media untuk mempunyai akses yang munasabah ke tempat perhimpunan dan menggunakan apa-apa kelengkapan untuk membuat laporan mengenai perhimpunan

Kuasa Polis Untuk Menahan Orang Ramai Yang Menyertai Perhimpunan
Seksyen 20 memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menahan, tanpa waran, mana-mana penganjur atau peserta yang enggan atau gagal mematuhi mana-mana sekatan atau syarat seperti berikut:
a.    Semasa perhimpunan enggan atau tidak mematuhi mana-mana sekatan atau syarat di bawah Seksyen 15.
b.    Semasa perhimpunan, ada dalam milikan apa-apa senjata.
c.    Merekrut atau membawa kanak-kanak ke perhimpunan selain daripada perhimpunan keagamaan, pengebumian, perhimpunan berhubung dengan adat dan perhimpunan yang diluluskan oleh Menteri.
Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, sebelum menjalankan kuasa menangkap, pegawai polis hendaklah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan pematuhan secara sukarela oleh penganjur atau peserta.

Kuasa Polis Menyuraikan Perhimpunan Yang Sedang Diadakan
Seksyen 21 memberikan kuasa kepada pegawai polis mengeluarkan arahan untuk bersurai, jika perhimpunan itu tidak mematuhi undang-undang seperti di bawah:
a.    Perhimpunan diadakan di suatu tempat larangan atau dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan.
b.    Perhimpunan telah menjadi protes jalanan.
c.    Mana-mana orang di perhimpunan telah melakukan apa-apa perbuatan, mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan, bermusuhan dan mengganggu ketenangan di kalangan orang awam
d.    Mana-mana orang di perhimpunan melakukan mana-mana kesalahan di bawah undang-undang bertulis.
e.    Peserta perhimpunan tidak mematuhi sekatan dan syarat yang dikenakan di bawah Seksyen 15, APA 2012.
f.     Peserta perhimpunan yang terlibat dan akan terlibat dalam perhimpunan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, perbuatan tidak senonoh dan keganasan terhadap orang awam dan harta.

Sekiranya perkara-perkara yang dinyatakan di atas berlaku, pegawai polis pada masa itu boleh menjalankan kuasa yang ada untuk menyuraikan perhimpunan dengan menggunakan segala kekerasan yang munasabah.

Mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan telah melakukan kesalahan dan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM20,000.00.

Pengecualian
Akta ini tidak terpakai bagi
a.    sesuatu perhimpunan membabitkan kempen pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta
b.    Perhimpunan mogok, sekat masuk (lock-out) atau piket dibawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1969.

Kempen Parti Politik yang Bertanding  pada Pilihan Raya
     Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum perlu memohon permit untuk mengadakan sebarang perhimpunan kerana APA 2012 tidak terpakai semasa berkempen.
Seksyen 24B (3) (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954:
Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen memberikan apa-apa ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka, di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh pegawai polis yang menjaga daerah di mana perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan itu hendak diadakan atau ucapan atau syarahan itu hendak diberikan.
Mogok, Sekat Masuk (Lock-Out) atau Piket
Ketiga-tiga tindakan ini dipanggil tindakan perusahaan. Piket ertinya berdiri atau berarak di hadapan premis perniagaan atau pejabat bagi tujuan mendedahkan kepada orang ramai tentang rungutan pekerja atau apa-apa bentuk bantahan.
Secara mudahnya, mogok adalah pemberhentian kerja oleh sekumpulan pekerja termasuklah percubaan untuk menghadkan atau melambatkan pengeluaran dengan sengaja.
Sekat masuk (lock-out) didefinasikan dibawah S.2 APP sebagai:
a.    Penutupan sesuatu tempat pekerjaan; atau
b.    Menggantung kerja; atau
c.    Keengganan seorang majikan untuk menggaji sejumlah pekerja yang digajikan olehnya, sebagai perlanjutan pertikaian perusahaan, dilakukan dengan maksud untuk memaksa pekerja – pekerja tersebut untuk menerima syarat dan terma kerja atau untuk memberi kesan kepada pekerjaan.

Kesemua tindakan ini dibuat setelah mendapat kebenaran dari Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dibawah Akta Kesatuan sekerja 1969 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. 

..... entri yang seterusnya akan membincangkan perlaksanaan Akta di Malaysia, komen hakim Mahkamah mengenai peruntukan seksyen 10 yang tidak berpelembagaan .....


MEMAHAMI AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012 BHG 2 MEMAHAMI AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012 BHG 2 Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 7:51:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.