MEMAHAMI KESALAHAN QAZAF (MENUDUH ZINA)
QAZAF (MENUDUH
ZINA)
PENGERTIAN QAZAF
Dari Segi Bahasa
Melemparkan
tuduhan atau lontar atau melepaskan anak panah daripada busur..
Dari Segi Istilah
Menuduh seorang yang suci dan terpuji dengan tuduhan zina. Ia
juga merangkumi tuduhan zina yang tidak disertakan dengan bukti dan keterangan
yang lengkap. Malah ia juga merangkumi tuduhan menafikan keturunan seseorang.
Adapun
melemparkan tuduhan-tuduhan yang lain daripada zina dan menafikan keturunan
seperti melemparkan tuduhan kufur, mencuri, minum arak dan sebagainya, termasuk
mencerca, memaki hanum yang bertujuan untuk menghina maka pesalah-pesalah yang
tersebut tidak dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukuman takzir.
RUKUN-RUKUN KESALAHAN QAZAF
Ada tiga rukun:
1.
Adanya tuduhan zina atau menafikan keturunan
2.
Cukup syarat yang membuat tuduhan dan orang yang dilemparkan
tuduhan
3.
Adanya qasad (niat sengaja).
Rukun Pertama - Melemparkan
tuduhan zina atau menafikan keturunan.
Apabila seorang itu menuduh
seorang lain berbuat zina sedangkan yang menuduh itu tidak dapat membuktikan
tuduhannya maka orang yang menuduh itu boleh dikenakan hukuman had qazf.
Melemparkan tuduhan zina itu terkadang-kadang menafikan nasab sekali dan
terkadang-kadang tidak. Misalnya seorang itu dipanggil “wahai anak zina” dengan
panggilan itu bererti dia telah dinafikan nasabnya dan ibunya telah dilemparkan
tuduhan zina. Tetapi kalau seorang itu dipanggil “wahai orang yang berzina”
bermakna orang itu hanya dilemparkan tuduhan zina.
Adapun jika tuduhan itu bukan
tuduhan zina dan menafikan keturunan maka tidak dikenakan had seperti
melemparkan tuduhan kepada seorang melakukan kekufuran, makan rasuah, pengkianat,
minum arak dan sebagainya maka yang membuat tuduhan tak berasas itu boleh
dikenakan hukuman takzir.
Begitu juga kalau tuduhan berbuat
zina dan menafikan nasab itu tidak mencukupi syarat-syarat had maka dikenakan
hukuman takzir. Makakala melemparkan tuduhan tidak berasas dengan tuduhan liwat
menurut jumhur ulamak adalah sama seperti melemparkan tuduhan zina kerana
mereka menganggap liwat itu seperti zina dan yang melakukan liwat adalah
berzina sama ada yang melakukan atau yang dilakukan liwat itu lelaki atau
perempuan. Imam Abu Hanifah mempunyai pandangan yang berbeza iaitu orang yang
melemparkan tuduhan yang tidak berasas dengan tuduhan liwat itu tidak dikenakan
hukuman had bahkan dikenakan hukuman takzir kerana beliau menerima perbuatan
liwat itu sebagai zina.
Jikalau seseorang itu menuduh
dengan suatu yang tidak maksiat umpamanya seorang itu dikatakan sebagai gila,
mandul, pekak, mati pucuk dan sebagainya maka yang menuduh itu boleh dihukum
dengan takzir walaupun tuduhan yang dilemparkan itu memang betul dan tepat. Ini
ialah kerana tuduhan-tuduhan itu dilemparkan semata-mata untuk menyakitkan hati
dan menjatuhkan maruah tak tentu fasal.
Cara-cara Melemparkan Tuduhan
(Qazf)
Cara melemparkan tuduhan ini ada
kalanya dengan perkataan yang terang, adakalanya dengan kiasan dan ada kalanya
dengan sindiran.
Lafaz qazaf
1. Lafaz jelas (sarih)
Yang dikatakan sarih ialah
tuduhan yang menggunakan perkataan yang jelas yang tidak mengundungi makna
selain daripada zina dan penafian nasab.
Ulama’ sepakat
mengatakan lafaz qazaf yang jelas dan terang tersebut mestilah dikenakan had
qazaf sekiranya tidak dapat dikemukakan 4 orang saksi lelaki yang adil dan
cukup syaratnya.
Contoh: Jika seorang berkata “wahai pezina” atau “hai kamu yang berzina” atau
“bapa kamu berzina” atau “ibumu berzina,” atau “engkau bukan
anak si anu” semuanya
itu adalah dari jenis qazf sarih.
2. Lafaz sindiran (kinayah)
Tuduhan yang menggunakan
perkataan yang tidak terang yang boleh membawa erti zina atau selainnya, dinamakan
kinayah atau ta’ridh.
Manakala tuduhan dengan perkataan
seperti “wahai pelacur” “wahai orang yang melakukan perbuatan keji dan
terkutuk.” “wahai orang yang keji” dan sebaginya adalah dari jenis kinayah
makakala jenis ta’ridh adalah seperti menggunakan perkataan “aku tidak berzina
dan ibuku pun tidak,” atau “isterimu sudahku rosakkan,” “aku rosakkan
rumahtangga” dan sebagainya.
Ulama’ berselisih pendapat mengenainya:
a.
Imam Abu Hanifah berpendapat tuduhan selain zina serta
tuduhan zina secara sindiran tidak dikenakan had qazaf, tetapi dikenakan ta’zir
sahaja
b.
Imam Syafei dan Imam Malik berpendapat bahawa sekiranya ia
membuat tuduhan secara kinayah tetapi memang berniat untuk membuat tuduhan zina
atau dapat dibuktikan memang ia berniat untuk membuat tuduhan zina, maka ia
mestilah dikenakan had qazaf.
Rukun Kedua – ada orang yang
melemparkan tuduhan dan ada orang yang dilemparkan tuduhan zina ke atasnya:
Ada beberapa syarat yang tertentu
yang mesti dipatuhi sebelum hukuman had qazf itu dilaksanakan kepada
pesalah-pesalahnya.Syarat-syarat itu ada yang mengenai orang yang menuduh dan
setengahnya berhubung dengan orang yang dilemparkan tuduhan .
Syarat-syarat orang yang
melemparkan tuduhan tak berasas :
1. Baligh – kanak-kanak tidak
akan dikenakan had
2. Berakal – orang gila juga
tidak akan dikenakan had
3 - Dengan kerelaan sendiri. Seseorang
yang dipaksa untuk membuat tuduhan, maka tidak wajib had ke atas mereka.
Ketiga-tiga syarat di atas
bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Diangkatkan qalam daripada tiga golongan
manusia.
Dan juga kerana perbuatan yang
dilakukan mereka itu tidak dikira sebagai melakukan kesalahan yang sebenar,
akan tetapi kalau kanak-kanak itu sudah mumaiyiz maka wajib dikenakan hukuman
takzir untuk menegah kanak-kanak daripada biasa menyakiti orang lain.
4. Orang itu mestilah mengetahui
tentang haramnya qazf. Kalau dia jahil maka tidak diwajibkan had ke atasnya. Orang
yang jahil ialah seperti baru memeluk Islam atau tinggal jauh daripada ulamak
tidak akan dikenakan hukuman.
5. Orang itu bukan ibu bapa dan
datuk hingga ke atas kepada orang yang dilemparkan tuduhan. Kalau seorang bapa
menuduh anaknya berzina atau datuk menuduh cucunya berzina maka menurut
kebanyakan mahzab tidak boleh dikenakan hukuman had kecuali mazhab Maliki yang
mewajibkan ke atas orang yang membuat tuduhan itu walaupun bapa atau datuknya
sendiri.
Orang yang membuat tuduhan itu
tidak disyaratkan merdeka, jadi seorang hamba pun boleh dikenakan hukuman had,
Cuma baginya ialah separuh daripada hukuman bagi seorang yang merdeka iaitu 40
kali dera, dan begitulah juga pesalah-pesalah qazf ini tidak disyaratkan
seorang Islam, bahkan orang bukan Islam yang membuat tuduhan zina itu boleh
dikenakan had mengikut jumhur ulamak.
Syarat-syarat bagi orang yang
dilemparkan tuduhan :
Supaya hukuman had qazf boleh
dikenakan ke atas orang yang membuat tuduhan palsu zina maka orang yang
dilemparkan tuduhan itu mestilah menpunyai syarat berikut :
1. Orang yang dilemparkan tuduhan
itu deketahui walaupun ia sudah mati. Sebaliknya jika yang dilemparkan tuduhan
palsu tidak diketahui orangnya maka orang yang membuat tuduhan palsu itu tidak
wajib dikenakan had. Katakan seorang itu melemparkan tuduhan zina kepada
sekumpulan orang secara umum dengan tidak disebutkan orangnya secara tepat maka
yang membuat tuduhan seperti ada tidak boleh dikenakan hukuman had kerana
tuduhan itu tidak ditujukan kepada seorang yang tertentu.
2. Seorang yang muhsin. Apa yang
dimaksudkan dengan muhsin dalam masalah qazf ialah seorang yang baligh,
berakal, merdeka, Islam dan suci dari perbuatan zina. Sumber yang meletakkan
syarat ihsan ialah firman Allah :
Dan Firman-Nya :
Maksud ihsan dalam ayat yang
pertama ialah suci dari zina atau merdeka mengikut satu pendapat lain. Manakala
makna ihsan dalam ayat yang kedua ialah merdeka, suci daripada zina dan Islam.
Jadi dengan berdasarkan kedua-dua nas di atas maka ulamak mengatakan bahawa
Islam, merdeka dan bersih daripada perbuatan zina sebagai syarat-syarat ihsan.
Adapun syarat baligh dan berakal
memang menjadi syarat bagi setiap orang yang melakukan kesalahan tetapi kepada
orang yang dilemparkan tuduhan juga kebanyakkan ulamak mensyaratkan baligh dan
berakal kerana perbuatan zina itu tidak dianggap sebagai zina yang mencukupi
syarat sekiranya dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila, sebab itu
kanak-kanak atau orang gila terlepas daripada hukuman had.
Akan tetapi menurut satu riwayat
daripada Imam Ahmad baligh tidak menjadi syarat ihsan asalkan orang yang dibuat
tuduhan itu berakal dan bersih daripada zina dan asalkan tuduhan itu boleh
dipercayai. Jadi mengikut pendapat ini kalau orang yang dilemparkan tuduhan ini
bertubuh besar yang boleh disetubuhi walaupun belum baligh sudah memenuhi
syarat di atas dengan menetapkan umur bagi kanak lelaki tidak kurang dari
sepuluh tahun dan anak perempuan tidak kurang dari sembilan tahun. Imam Malik
pun mensyaratkan baligh itu pada lelaki dan tidak mensyaratkannya kepada
perempuan asalkan perempuan itu berupaya untuk disetubuhi.
Berhubung dengan merdeka, jumhur
ulamak mensyaratkan orang yang dilemparkan tuduhan itu mesti merdeka, kalau
yang dilemparkan tuduhan itu seorang hamba sahaya maka yang membuat tuduhan itu
tidak dikenakan had ke atasnya. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
:
Barang siapa yang membuat tuduhan
kepada hambanya berbuat zina sedangkan dianya bersih daripada apa yang
dikatakan maka hukuman had dijalankan kepada yang membuat tuduhan pada hari
kiamat.
Ibn Hazm pula mengatakan orang
yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada seorang hamba berbuat zina
adalah wajib dikenakan had, berdasarkan pada umumnya firman Allah dan sabda
Rasulullah s.a.w. yang tidak membezakan orang yang merdeka daripada hamba.
Firman Allah :
Maksudnya : Wahai manusia sesungguhnya
kami (Allah) jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan.
Sabda Rasulullah s.a.w. pula :
Maksudnya : Sesungguhnya darah
kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah diharamkan ke atas kamu.
Mengenai syarat, bersih daripada
perbuatan zina. Semua ulamak bersepakat dalam perkara ini cuma mereka
berselisihan pendapat tentang maksud, menurut Abu Hanifah yang dikatakan iffah
itu ialah seorang yang dilemparkan tuduhan tak berasas, berbuat zina itu tidak
pernah dalam hidupnya melakukan wati haram dengan perempuan yang bukan milik
dan tidak melalui akad nikah yang sah dan tidak melaui akad nikah yang
dijimakkan oleh ulamak sebagai nikah yang fasid. Jikalau seorang itu telah
melakukan wati haram tetapi menerusi milik atau menerusi nikah yang sah atau nikah
fasid yang dipertikaikan oleh setengah ulamak maka masih dianggap iffah.
Imam Malik pula berpendapat iffah
ialah seorang yang tidak pernah melakukan wati yang diwajibkan had ke atasnya
dan yang belum pernah disabitkan had zina ke atasnya sama ada sebelum atau
sudah dilemparkan tuduhan kepadanya. Iffah mengikut Imam Syafie pula bermaksud
orang yang dilemparkan tuduhan itu tidak pernah melakukan wati yang diwajibkan
had zina ke atasnya. Jadi jikalau seorang itu telah melakukan persetubuhan
haram dengan perempuan yang bukan milik tetapi wati haram itu tidak boleh
mewajibkan had zina ke atas yang melakukan seperti melakukan wati sybahat maka
menurut pendapat ini wati syubahat tidak mewajibkan had zina dan dengan ini
bererti orang yang melakukan persetubuhan melalui wati syubahat masih dianggap
“iffah”.
Manakala Imam Ahmad pula
berpendapat bahawa orang yang tidak disabitkan kesalahan zina sama ada dengan
keterangan saksi atau pengakuan dan yang tidak dikenakan hukuman had zina maka
ianya masih dikatakan “iffah” walaupun dia sudah bertaubat daripada zina.
Jumhur ulamak mensyaratkan iffah,
bersih daripada zina itu sama ada sebelum daripada dilemparkan tuduhan atau
sesudahnya, tetapi Imam Ahmad tidak mensyaratkan melainkan pada ketika tuduhan
itu dilemparkan dan tidak dikira sudah masa itu. Oleh itu kalau seorang yang
menuduh seorang yang tidak melakukan zina tiba-tiba sebelum daripada dijatuhkan
hukuman maka orang yang dibuat tuduhan itu melakukan zina maka orang yang
membuat tuduhan itu terlepas daripada hukuman had qazf menurut kebanyakan
ulamak tetapi menurut Iman Ahmad orang itu wajib dikenakan hukuman had qazf
kerana pada masa tuduhan itu dilemparkan kepadanya ia masih dalam iffah.
Rukun yang ketiga - Sengaja atau
qasad melakukan jenayah :
Yang dimaksudkan dengan sengaja
ialah umpamanya seorang yang membuat tuduhan tak berasas tentang zina atau
menafikan nasabnya itu dalam keadaan dia mengetahui tuduhan yang dilemparkan
itu adalah tidak betul dan yang dikatakan dia mengetahui tuduhan itu tidak
betul ialah kerana dia tidak dapat membuktikan yang tuduhannya itu betul oleh
sebab dakwaan seseorang yang mengatakan bahawa tuduhan zina yang dilemparkan
itu benar, tidak boleh diterima terus, kerana sebelum seorang itu membuat
tuduhan maka diwajibkan ke atasnya menyediakan bukti yang menyokong tuduhannya.
Selain daripada syarat-syarat di
atas ada dua syarat bagi membolehkan hukuman had itu dijalankan kepada qazif.
1. Mestilah adanya tuntutan
daripada orang yang dilemparkan tuduhan iaitu dengan cara orang yang dilemparkan
tuduhan tak berasas itu mengadu kepada pihak berkenaan. Ini ialah kerana qazf
adalah dianggap sebagai hak anak Adam yang bererti orang yang dilemparkan
tuduhan sahaja yang berhak menuntut balasan kepada yang membuat tuduhan palsu
kepadanya. Jika tidak ada permintaan daripada pihak yang teraniaya maka hukuman
had tidak boleh dikenakan kepada yang membuat tuduhan palsu zina.
2. Orang yang membuat tuduhan itu
tidak dapat membukti kebenaran dakwaanya.
BUKTI-BUKTI
YANG MENSABITKAN KESALAHAN QAZF
Kesalahan qazf dapat disabitkan
sama ada dengan kesaksian pengakuan dan sumpah.
1. Kesaksian (Syahadah) : Untuk
membuktikan kesalahan qazf kepada qazif (orang yang membuat tuduhan palsu zina)
ialah dengan disaksikan oleh saksi yang mempunyai syarat seperti dalam saksi-saksi
zina iaitu saksi mestilah seorang Islam, baligh, berakal, adil, dapat bertutur,
dapat mengingatkan dan tidak ada hubungan keluarga. Begitulah juga saksi-saksi
mesti terdiri orang lelaki walaupun setengah ulamak mengatakan saksi itu
terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan adalah memadai.
Bilangan saksi itu seramai dua
orang lelaki adalah mencukupi untuk mensabitkan kesalahan qazf kepada qazif.
Akan tetapi untuk menafikan tuduhan qazf maka orang yang didakwa membuat
tuduhan palsu zina itu hendaklah mematuhi salah satu daripada berikut :
i. Menafikan dakwaan kesalahan
qazf dengan membawa saksi-saksi seberapa banyak dengan tidak dihad kepada
bilangan tertentu.
ii. Menegaskan bahawa orang yang
dilemparkan tuduhan yang tidak berasas itu mengakui kebenaran tuduhannya, untuk
membela dirinya ini memadai dengan membawa dua saksi lelaki atau seorang lelaki
dan seorang peremuan.
iii. mengaku membuat kesalahan
qazf dan dalam keadaan ini dia mesti membuktikan kebenaran tuduhan zina yang
dilempaekan kepada seorang iaitu dengan membawa saksi seramai empat orang yang
benar-benar menyaksikan orang yang dilemparkan tuduhan zina itu memang
melakukan zina.
2. Pengakuan atau ikrar : Sabit
kesalahan qazaf dengan adanya pengakuan sendiri daripada orang yang membuat
tuduhan tak berasas kepada seorang berbuat zina, dengan sekali pengakuan dalam
majlis kehakiman sudah memadai. Jika pengakuan membuat tuduhan itu tidak di
majlis qada’ maka menurut Abu Hanifah harus disaksikan pengakuan itu.
3. Dengan sumpah : Mengikut Imam
Syafie kesalahan qazaf boleh disabitkan melalui sumpah, jika pihak yang
dilemparkan tuduhan itu tidak mempunyai bukti lain maka dia meminta tolong
orang yang melemparkan tuduhan itu bersumpah bahawa dia tidak membuat tuduhan
kalau dia tidak mahu bersumpah begitu maka sabitlah kesalahan qazf kepadanya.
Begitu juga Imam Syafie berpendapat bahawa adainya orang yang melemparkan
tuduhan itu tidak mempunyai keterangan yang mengesahkan tuduhannya maka dia
boleh meminta kepada yang dilemparkan tuduhan bersumpah bahawa dia bersih
daripada zina. Jika dia tidak mahu bersumpah maka tuduhan zina yang dibuatnya
dianggap betul jadi yang membuat tuduhan itu terlepas daripada hukuman had.
Manakala Imam Malik dan Ahmad berpendapat kesalahan qazf tidak boleh disabitkan dengan bersumpah sama ada daripada orang yang membuat tuduhan atau orang yang dilemparkan tuduhan.
Manakala Imam Malik dan Ahmad berpendapat kesalahan qazf tidak boleh disabitkan dengan bersumpah sama ada daripada orang yang membuat tuduhan atau orang yang dilemparkan tuduhan.
HAD QAZAF
Sesiapa yang melakukan qazaf dikenakan dua hukuman:
1.
Hukuman asal iaitu 80 kali sebatan
2.
Hukuman tambahan iaitu tidak diterima penyaksian mereka.
Firman Allah:
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan
yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang
saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu
menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang
yang fasik; -
(An-Nuur 24:4)
Mereka yang melakukan kesalahan qazaf akan mendapat azab dari
Allah.
Sesungguhnya orang-orang yang
menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak
terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh
Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang
besar;
(An-Nuur 24:23)
Tidak diterima kesaksian : Semua
ulamak bersepakat mengatakan bahawa orang yang telah sabit kesalahan qazf tidak
boleh diterima kesaksiannya selagi tidak bertaubat kerana dia telah melakukan
maksiat dengan tidak bertaubat daripadanya, dengan itu maka hilanglah sifat
keadilan sedangkan sifat adil adalah syarat bagi saksi-saksi.
Apa yang dipertikaikan oleh ulamak ialah sama ada sesudah pesalah qazf itu bertaubat, boleh diterima semula kesaksiannya atau tidak.
Apa yang dipertikaikan oleh ulamak ialah sama ada sesudah pesalah qazf itu bertaubat, boleh diterima semula kesaksiannya atau tidak.
Menurut Abu Hanifah, al-Awza’i
dan al-Thauri kesaksiannya tidak boleh diterima walaupun dia sudah bertaubat.
Manakala Imam Syafie, Malik dan Ahmad berpendapat bahawa kesaksian orang yang
dihukum had qazf sesudah ia bertaubat boleh diterima.
Alasan mereka yang menolak
kesaksian orang yang bersalah qazf ialah :
i. Allah Taala menyebutkan
perkataan (maksudnya) “Tidak menerima kesaksian” adalah sebagai hukuman kepada
orang-orang yang bersalah qazf. Kalaulah kesaksian itu diterima selepas
bertaubat maka itu tidak dinamakan sebagai hukuman kerana orang yang membuat
tuduhan palsu zina itu adalah dihukum sebagai orang yang fasiq sedangkan orang
yang fasiq dengan apa jua sebab adalah tidak diterima kesaksian mereka maka
sebab itulah memang munasabah mereka tidak diterima menjadi saksi walaupun
mereka sudah bertaubat.
ii. Firman Allah :
Maksudnya : Dan janganlah kamu
terima kesaksian mereka selama-lamanya. Disebutkan perkataan sebagai menguatkan
lagi keadaan tidak diterima kesaksian mereka walaupun mereka telah bertaubat.
iii. Pengecualian yang tersebut
dalam ayat,
Maksudnya : Melainkan mereka yang
bertaubat, adalah daripada kalimah bukan daripada perkataan kerana ianya
berhubung terus dengan
Imam Malik, Syafie dan Ahmad pula
berpendapat orang yang telah dikenakan hukuman had qazf itu diterima
kesaksiannya setalah dia bertaubat dengan taubat nasuha berdasarkan kepada
alasan-alasan di bawah ini :
i. Bahawa taubat itu menghapuskan
(dosa-dosa) yang (dilakukan) sebelumnya. Apabila seorang itu telah bertaubat
dengan sungguh-sungguh maka Allah mengampunkan dosanya dan jika telah diampun
maka kesan-kesan dari kesalahan-kesalahan yang dilakukan hilang. Jadi orang
yang telah diampunkan berhak untuk diterima kesaksiannya.
ii. Kalimah selama-lamanya
dihubungkan dengan keadaan fasiq. Maknanya, tidak diterima kesaksian itu kerana
berkekalan dalam keadaan fasiq, jadi jikalau sudah tidak fasiq maka diterima
semula kesaksiannya.
iii.
Pengecualian yang tersebut dalam ayat adalah daripada keseluruhannya ayat itu
bukan daripada perkataan sahaja. Punca perselisihan mereka dalam mentafsirkan
ayat mereka yang mengatakan kesaksian orang yang bersalah qazf tidak diterima
menjadikan pengecualian daripada hukum fisq bukan dikecualikan daripada tidak
diterima kesaksian. Manakala mereka yang mengatakan kesaksian orang-orang yang
bersalah qazf boleh diterima pula merujukkan kalimah kecuali, kepada “tidak diterima
kesaksian”. Ertinya tidak diterima kesaksian mereka kecuali mereka yang telah
bertaubat.
PENGGUGUR HUKUMAN QAZAF
Ada tiga keadaan hukuman hudud mengenai kesalahan qazf boleh
digugurkan:
1.
Orang yang dilemparkan tuduhan kepadanya telah disahkan
melakukan kesalahan zina melalui bukti atau pengakuan penzina tersebut.
2.
Pengampunan oleh pihak yang dilemparkan tuduhan zina
tersebut. Keadaan ini ialah seperti pengampunan oleh keluarga dalam kes pembunuhan.
3.
Ucapan sumpah li’an iaitu apabila orang yang membuat tuduhan
ialah suami dan orang yang dilemparkan tuduhan adalah isteri. Sebagaimana
firman Allah dalam Surah an Nur ayat 6-7.
MEMAHAMI KESALAHAN QAZAF (MENUDUH ZINA)
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
10:03:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: