JENAYAH MENCURI SEBAGAI HUKUM HUDUD
KESALAHAN MENCURI
PENGERTIAN MENCURI
Mencuri bermaksud mengambil barang orang lain secara sembunyi
atau tanpa izin pemilik atau mengambil tanpa pengetahuan pemiliknya dari tempat
simpanan yang sepatutnya.
Ia juga bermaksud mengambil barangan orang lain dengan cara
sembunyi atau helah yang dilakukan oleh orang yang cukup umur dan pilihan
sendiri daripada tempat simpanan yang sesuai dan termaklum tidak dengan cara
yang dibenarkan oleh syara’ atau tidak dengan cara syubhat.
Pengertian ini jelas tidak memasukkan perbuatan merampas. Ini
kerana merampas sesuatu harta dilakukan secara tidak berselindung.
Daripada jabir r.a bahawa Nabi SAW bersabda:
“Orang yang mengkhianat, merampas dan meragut tidak akan
dipotong tangannya.”
SYARAT SABIT MENCURI DAN POTONG TANGAN
1.
Baligh – kanak-kanak
tidak akan dipotong tangannya
2.
Berakal – orang gila
tidak dikenakan hukum had
3.
Tidak dipaksa
4.
Harta yang dicuri
mestilah mencecah kadar yang ditetapkan (nisab) iaitu ¼ dinar atau lebih. Ini
berdasarkan Hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Artinya: Daripada
Aisyah r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda: potonglah tangan mereka dalam kes
kecurian ¼ dinar dan jangan potong tangan dalam kes yang kurang daripada itu.
(Riawyat Bukhari dan Muslim). Jumlah ¼ dinar adalah 3 dirham, dimana Ibnu Umar r.a
meriwayatkan satu hadis yang ertinya: sesungguhnya Rasulullah Saw telah
memotong tangan pencuri perisai yang bernilai 3 dirham.(Riwayat Bukhari dan
Muslim).
5.
Barangan yang dicuri
itu disimpan pada tempat yang sesuai. Tempat yang sesuai adalah mengikut uruf
atau pendapat pakar. Contohnya wang disimpan dalam peti, lembu dalam kandang
dan sepertinya. Jika harta tidak disimpan di tempat yang sesuai maka hukum had
tidak boleh dilaksanakan. Ini berdasarkan hadis dari Abdullah bin Amaru dari al
- ‘AS dan yang lainnya secara marfu’. Tiada hukuman potong tangan bagi
kesalahan mencuri haiwan melainkan jika ia disimpan di kandangnya. Sesiapa yang
mencuri tamar selepas disimpan di tempat pengeringan dan ia (tamar) mencecah
nilai sebuah perisai, dia akan dipotong tangan”. (Riwayat Abu Daud).
6.
Harta bukan milik
atau milik bersama pencuri. Sekiranya pencuri adalah rakan kongsi, dia tidak
akan dipotong tangan kerana harta tersebut adalah miliknya bersama. Bagi kes
anak mencuri harta bapa atau hamba mencuri harta tuan atau rakyat yang miskin
mencuri harta kerajaan atau ketika kebuluran, hukuman potong tangan tidak
dikenakan. Ini kerana wujud keraguan terdapat sedikit sebanyak unsure harta
bersama dalam harta yang dicuri. Hadis dari Aisyah r.a, artinya; “hindarilah
hukuman hudud daripada orang Islam seboleh mungkin. Sekiranya adajalan
melepaskannya, lepaskanlah dia. Seorang pemerintah yang tersilap mengampunkan
adalah lebih baik daripada dia tersilap menghukum”. (Riwayat at-Tarmizi).
7.
Pencuri sedar mencuri
adalah haram. Sekiranya seorang
mengambil barang dari kedai jirannya tanpa mengetahui bahawa apa yang dilakukan
adalah haram kerana tidak tahu hukum hakam Islam atau kerana baru memeluk
Islam, tidak akan dihukum potong tangan tetapi hanya akan dikenakan hukuman
ta’zir sahaja berserta denda.
8.
Harta yang dicuri
mestilah suci dan harus digunakan dari segi Syarak. Sekiranya harta yang dicuri
itu berupa arak, khinzir, anjing atau kulit yang belum disamak, hukuman potong
tangan tidak boleh dilakukan. Sekiranya
harta yang dicuri berupa gitar, seruling dan sebagainya juga tidak akan
dikenakan hukuman potong tangan. Ini kerana barangan tersebut digalakkan untuk
dimusnahkan.
PENSABITAN KES MENCURI
Kes mencuri boleh disabitkan melalui kaedah berikut:
1.
Pengakuan.
Pesalah yang mengaku
mencuri akan disabitkan dengan kesalahan tersebut. Dia juga akan dikenakan
hukuman had mencuri. Walaubagaimanapun, jika dia menarik pengakuannya sebelum
hukuman dilaksanakan, dia tidak akan dijatuhkan hukuman. Hakim juga perlu
mengemukakan tawaran rayuan sebelum hukuman dijatuhkan kepada pesalah seperti
yang perlu dilakukan dalam kes zina. Walaubagaimanapun, pengakuan pencuri hanya
akan diterima setelah pemilik barang yang telah dicuri datang menuntut haknya.
2.
Bukti
Bukti iaitu keterangan dua
orang saksi lelaki yang adil dan memenuhi syarat-syarat menjadi saksi. Namun
jika saksi yang ada terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang perempuan, ia
hanya boleh mengesahkan hak milik harta tersebut, tetapi tidak boleh mensabitkan
hukuman potong tangan.
3.
Sumpah
Sumpah oleh pihak yang mendakwa iaitu
selepas orang yang didakwa enggan bersumpah.
HAD MENCURI
Pencuri yang sabit kesalahannya dan cukup syaratnya hendaklah
dikenakan had iaitu dengan memotong tangan. Firman Allah SWT:
Dan orang lelaki yang mencuri
dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka
sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
(Al-Maaidah 5:38)
Baginda Rasulullah SAW sendiri pernah menjatuhkan hukuman
potong tangan keatas pencuri yang sabit kesalahannya pada zaman baginda. Hadis
diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud:
Dimana nabi telah memotong tangan orang yang mencuri perisai
yang digunakan dalam peperangan yang mana harganya 3 dirham.
Pulangkan Barang Yang Dicuri
Selain hukuman potong tangan satu lagi bentuk hukuman ialah
memulangkan semula barangan yang dicuri jika ada. Jika tiada, pesalah
dikehendaki menggantinya. Hukum ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Tangan yang mengambil perlu bertanggungjawab sehinggalah ia
memulangkannya.” (Riawyat Abu Daud adan Riwayat at-Tirmizi).
Walaupun Ulama’ berselisih pendapat mengenai memulangkan
barang yang dicuri:
1. Menurut Imam Syafei dan Imam Ahmad, pencuri hendaklah
memulangkan balik barangan yang dicurinya kepada pemilik. Hukuman potong tangan
dan memulangkan barang boleh dilaksanakan serentak. Ini kerana hukuman potong
tangan dilaksana kerana menceroboh hak Allah manakala hukuman mengembalikan
barang yang dicuri kerana menceroboh hak manusia.
2. Mengikut pendapat Imam Abu Hanifah pencuri perlu
mengembalikan barang yang dicuri tetapi hukuman ini tidak boleh dilaksanakan
serentak dengan hukuman potong tangan.
3. Menurut pendapat Imam Malik pencuri perlu memulangkan
barang yang dicuri sekiranya barangan itu masih ada, sekiranya barang itu telah
tiada atau musnah ia hedaklah membayar gantirugi dengan syarat ia berkemampuan
semasa mencuri.
ANGGOTA YANG DIPOTONG DAN MENCURI BERULANG
Ulama’ berselisih pendapat mengenai anggota yang wajib
dipotong dan had terhadap kesalahan berulang.
1. Jumhur Ulama’ seprti Imam Syafei dan Imam Malik berpendapat
hukuman dibahagikan kepada 5 bahagian:
a.
Pencuri yang mencuri
kali pertama dikenakan had potong tangan kanan sehingga pergelangan tangan
b.
Mencuri kali kedua
dipotong kaki kiri hingga buku lali
c.
Mencuri kali ketiga
dipotong tangan kiri hingga pergelangan tangan
d.
Mencuri kali keempat
dipotong kaki kanan hingga buku lali
e.
Mencuri kali kelima
dan seterusnya dikenakan ta’zir atau dipenjarakan sehingga ia bertaubat
2. Menurut pendapat ‘Ata’ hukuman terhadap pencuri adalah dua
bentuk sahaja:
a.
Pencuri hanya
dipotong tangannya untuk kesalahan pertama. Maknanya hukuman potong tangan
hanya sekali sahaja.
b.
Kesalahan mencuri
kali kedua dan seterusnya dikenakan hukuman ta’zir
3. Menurut Mazhab Zahiri pula hukuman keatas kesalahan
mencuri ada tiga bentuk:
a.
Mencuri kali pertama
dipotong tangan kanan
b.
Mencuri kali kedua
dipotong tangan kiri
c.
Mencuri kali ketiga
dan seterusnya dikenakan hukuman ta’zir
4. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, had terhadap pencuri
terbahagi kepada tiga bentuk:
a.
Kesalahan kali
pertama hukumannya potong tangan kanan
b.
Kesalahan kali kedua
hukumannya potong kaki kiri
c.
Kesalahan kali ketiga
hukumannya dipenjara sehingga ia bertaubat atau sehingga matijika ia enggan
bertaubat
PERLAKSANAAN HUKUMAN POTONG TANGAN
Setelah kes curi dibuktikan dan dibawa ke hadapan hakim,
hukuman perlu dilaksanakan. Tidak boleh wujud sebarang rundingan untuk
menggugurkannya. Namun sekiranya kes tersebut belum dihadapkan ke hadapan
hakim, ia boleh digugurkan atau dirunding untuk digugurkan. Dalam sebuah hadis:
Ketika Shafwan bin Umayyah sedang berbaring (tidur) di
Batha’, seseorang datang dan mencuri jubahnya yang berada di bawah kepalanya.
Lalu Shafwan membawanya kepada Nabi SAW dan nabi memerintahkan agar tangan
pencuri itu dipotong. Lalu Shafwan berkata: saya maaf dan ampunkannya. Baginda
bersabda: kenapa tidak sebelum engkau membawanya kepada saya?”.
JENAYAH MENCURI SEBAGAI HUKUM HUDUD
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
8:50:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: