BIDANG KUASA DAN INSTITUSI PETADBIRAN PUSAKA
BIDANGKUASA PENTADBIRAN PUSAKA
Bidang kuasa pentadbiran dan pembahagian
Harta Pusaka di Malaysia adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan (Perlembagaan
persekutuan Perkara 4(e)(1) Senarai 1 Jadual Kesembilan). Ini bermakna kuasa
perundangan harta pusaka tidak kira yang berwasiat atau tidak berwasiat
terletak kepada Kerajaan Persekutuan.
Undang-undang yang telah digubal berkait
dengan harta pusaka ialah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, Akta
Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
Perkara 1, Senarai 2 Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga
bagi orang Islam termasuk hukum syarak berhubung dengan mewarisi harta
berwasiat dan tidak berwasiat adalah terletak di bawah sebarai negeri.
Peruntukan ini sebenarnya terhad kepada
penentuan dari segi bahagian-bahagian waris mengikut faraid, kesahihan wasiat
serta hibah, nasab, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya yang berkaitan
dengan undang-undang diri simati yang Islam.
Dalam kes Jumaaton & Raja Delila v
Raja Hizaruddin [1998] 6 MLJ 556, Pengerusi panel hakim Mahkamah Rayuan
Syariah Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa mahkamah Syariah tiada berbidang
kuasa mengenai probet dan pentadbiran pusaka kerana ia terletak di bawah bidang
kuasa Mahkamah Sivil.
Sebelum ini
dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v Faridah binti Dato’ Talib [1992]
2 MLJ 793, Mahkamah Agung telah mengiktiraf mentadbir pusaka diletakkan di
bawah Senarai Kuasa Perundangan Persekutuan (Senarai 1 Jadual Kesembilan,
Perlembagaan Persekutuan) dan tidak dikecualikan bagi orang Islam. Antara
alasan penghakiman dalam kes ini adalah sebagaimana berikut:
“Sungguhpun Senarai 2, Jadual Kesembilan
itu menyebut mengenai Hukum Syarak berhubung dengan mewaris harta berwasiat dan
tak berwasiat’ dan ‘pembahagian harta’, apabila rujukan dibuat kepada Senarai
1, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan itu, ini tidak termasuk probet dan
surat mentadbir pusaka. Perkara (e), Perenggan (i) dalam Senarai Persekutuan
itu menyebut bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang antara lain mengenai
‘perwarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat, probet dan surat mentadbir pusaka’.
Kemudian dalam Bahagian (ii), Perkara (a) itu disebut ‘Perkara yang tersebut
dalam Perenggan (1) tidak termasuk undang-undang diri orang-orang Islam
berhubung dengan ‘pemberian atau perwarisan harta berwasiat dan tidak
berwasiat’. Ini bermakna undang-undang mengenai ‘probet dan surat mentadbir
harta’ dimasukkan dalam Senarai Persekutuan dan bukan ‘Senarai Negeri’ dan oleh
kerana itu Badan Perundangan Negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa
atau bidang kuasa dalam perkara ‘probet dan surat mentadbir harta’ itu. Inilah
sebab undang-undang mengenai ‘probet dan surat mentadbir’ bagi semua orang di
Malaysia terdapat dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959.”
Seksyen 12(7) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian ) 1955 (Akta 98) memperuntukkan bahawa pembahagian harta pusaka si mati hendaklah
mengikut undang-undang terpakai kepadanya. Ini bermakna bagi orang Islam,
pembahagian hartanya hendaklah mengikut Hukum Faraid.
Seksyen 12(7):
“Pemungut hendaklah menentukan, dalam apa cara yang paling
sesuai, undang-undang yang terpakai kepada penurunan harta pusaka si mati, dan
hendaklah memutuskan siapa mengikut undang-undang itu adalah
benefisiari-benefisiari dan kadar syer dan kepentingan masing-masing”.
Di samping itu,
sekiranya terdapat apa-apa persoalan berkaitan dengan hukum syarak, termasuk
Hukum Faraid atau apa-apa perkara yang berkaitan dengannya seperti penentuan
nasab, sah taraf anak, pengesahan wasiat, hibah dan sebagainya, pegawai yang
membicarakan harta pusaka tersebut bolehlah merujuk kepada pihak berkuasa agama
di negeri masing-masing seperti diperuntukkan dalam seksyen 19(1) (a) Akta:
“Jika soalan itu
berkaitan dengan undang-undang Islam atau adat Melayu atau undang-undang anak
watan atau adat Sabah atau Sarawak, merujuk perkara itu untuk mendapat
keputusannya kepada pihak berkuasa negeri (Ruler of the state) di mana daerahnya
terletak atau kepada mana-mana orang lain atau kumpulan orang sebagaimana yang
diarahkan oleh Raja itu”
INSTITUSI YANG MENGENDALIKAN HARTA
PUSAKA
1. Amanah Raya Berhad
Mengendalikan harta
si mati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi
RM 600,000 berpandukan kepada Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad (Akta 532). Contohnya:
sekiranya si mati hanya meninggalkan wang simpanan di institusi kewangan (BSN,
ASB, Tabung Haji, KWSP), kenderaan (kereta, motosikal), saham, dividen dan
sebagainya.
2 Seksyen Pembahagian Pusaka/ Pejabat
Tanah
Di peringkat negeri
atau daerah dikenali sebagai Unit Pembahagian Pusaka, mengendalikan harta si
mati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tak alih
beserta dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan
nilainya tidak melebihi RM 2,000,000.00 dan tidak berwasiat mengikut Akta
Wasiat 1959. Undang-undang berkuatkuasa ialah Akta Harta Pusaka Kecil
(Pembahagian) 1955 (Akta 98).
Contohnya: si mati
meninggalkan 2 bidang tanah sahaja atau meninggalkan 2 bidang tanah dan duit
simpanan di Lembaga Tabung Haji.
3 Mahkamah Tinggi
Mengendalikan harta si mati yang
meninggalkan sama ada harta tak alih atau harta alih yang nilainya melebihi RM
2 juta atau berwasiat (bagi buka Islam) walaupun nilainya kurang daripada RM 2
juta. Mahkamah Tinggi juga mengendalikan kes-kes rayuan dibawah seksyen 29 Akta
Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Undang-undnag yang terpakai ialah Akta
Probet dan Pentadbiran 1959 (akta 96).
BIDANG KUASA DAN INSTITUSI PETADBIRAN PUSAKA
Reviewed by Kamaruddin Mahmood
on
5:39:00 PTG
Rating:

Tiada ulasan: