MAHKAMAH SYARIAH DAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA



MAHKAMAH SYARIAH DAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA

Mahkamah Syariah bertanggungjawab dalam hal-hal yang berikut:

1. Mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid
Lazimnya, hanya Mahkamah Tinggi dan ARB sahaja yang akan meminta benefisiari mendapatkan sijil faraid. Jarang sekali Pejabat Pembahagian Pusaka akan meminta waris mendapatkan sijil faraid.  Sijil faraid adalah bertujuan untuk mengetahui siapakah benefisiari yang berhak kepada harta pusaka berkenaan dan berapakah bahagian yang diperolehinya.

2. Pengesahan Hibah.            
Sekiranya si mati meninggalkan dokumen hibah, dan terdapat bantahan  daripada                waris-waris dalam masa pembahagian harta pusaka, pihak yang menuntut sebagai     penerima hibah hendaklah membawa kes    ke mahkamah syariah untuk diputuskan sama    ada hibah itu sah atau   tidak. Sekiranya mahkamah memutuskan hibah itu sah, harta itu     tidak perlu difaraidkan.

3. Pengesahan Wasiat.            
Sekiranya si mati meninggalkan wasiat, dan terdapat bantahan daripada waris-waris      dalam masa pembahagian harta pusaka, penerima wasiat  hendaklah membawa kes ke mahkamah syariah untuk diputuskan sama ada wasiat itu sah atau tidak. Sekiranya mahkamah memutuskan wasiat itu sah, waris-waris wajib melaksanakan wasiat itu.              
Maksimum wasiat dibenarkan kadar 1/3 daripada keseluruhan harta selepas ditolak     belanja pengebumian dan hutang-hutang si mati, manakala selebihnya 2/3 bahagian lagi     difaraidkan.

4. Pengesahan Status Perkahwinan.            
Sekiranya diragui tentang status perkahwinan seseorang itu sama ada sah atau tidak,mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskannya. Keputusan mahkamah syariah akan mempengaruhi sijil faraid sama ada isteri atau suami yang ditinggalkan itu layak  menerima pusaka  atau sebaliknya.

5. Pengesahan Nasab.            
Apabila timbul pertelingkahan berkaitan status anak sama ada anak   kandung atau anak angkat atau sama ada seseorang yang mengaku sebagai mempunyai pertalian nasab dengan si mati itu sabit atau tidak, mahkamah syariah akan memutuskannya berdasarkan kepada  pembuktian yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang bertelingkah.

6. Menentukan Sah Taraf Anak.            
Mahkamah Syariah juga mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada seseorang anak itu tidak sah taraf atau sebaliknya. Sekiranya diputuskan tidak sah taraf, anak itu akan hanya berhak mewarisi harta pusaka ibunya sahaja dan tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya.

7. Mengesahkan Sama Ada Layak Atau Tidak Mewarisi      
Apabila timbul masalah berkaitan pembunuhan, berlainan agama atau murtad, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan seseorang itu layak mewarisi atau tidak.                  

MAHKAMAH SYARIAH DAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA MAHKAMAH SYARIAH DAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 5:44:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.