PENGAMBILAN TANAH - GANGGUAN KEPADA HAK ASASI?

 

Mengukur tanah sebahagian dari proses pengambilan 

PENGAMBILAN TANAH - GANGGUAN KEPADA HAK ASASI?

Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan ‘hartanya’ kecuali mengikut Undang-undang. Ini membawa maksud hak terhadap harta adalah hak asasi yang termaktub di dalam perlembagaan dan tidak ada pihak yang boleh melucutkan harta seseorang melainkan terdapat undang-undang yang membenarkannya.

Harta mengikut Akta Tafsiran 1967 ialah samada harta alih dan harta tidak alih. Harta Tak Alih ditakrifkan sebagai tanah dan sebarang kepentingan didalamnya, hak keatas atau faedah yang berbangkit atau akan berbangkit daripada tanah, Harta Alih pula ialah semua harta selain harta Tak Alih.

Dalam kes S. KULASINGAM & ANOR lwn COMMISSIONER OF LAND OF FEDERAL TERRITORY & ANOR [1982]1 MLJ 204  “…. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan pada keseluruhannya mengekalkan kesucian harta persendirian tetapi P.13 (2) membenarkan satu laluan kepada hak am itu. Suatu justifikasi untuk laluan dan rasional dalam fasal 2 boleh didapati dalam doktrin salus populi supreme less (kepentingan awam hendaklah diutamakan), dan bahawa kepentingan persendirian dalam beberapa keadaan diketepikan kerana kepentingan awam yang lebih utama, apabila Negara memikirkan ia patut dilakukan sedemikian”.

Di Malaysia, undang-undang mengenai pengambilan tanah secara paksa telah dimaktubkan dalam Akta Pengambilan Tanah (APT)1960 (Akta 486). Akta ini mula dikuatkuasa pada 13 Oktober 1960.  Sebelum inipun, sudah ada undang-undang mengenai pengambilan tetapi diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-negeri berkenaan. Antaranya ialah:

a.    Enakmen Pengambilan Tanah Negeri Selat

b.    Enakmen Pengambilan Tanah Kelantan 1934

c.    Enakmen Pengambilan Tanah Johor 1936

d.    Enakmen Pengambilan Tanah Negeri Melayu Bersekutu (Cap 40)

e.    Ordinan Pengambilan Tanah (Pampasan) (Peruntukan Khas) 1948

Parlimen, melalui kuasa dibawah Perkara 76 (4) telah menggubal APT 1960. Meskipun APT 1960 digubal oleh parlimen tetapi kuasa pengambilan tanah dan hal ehwal tanah masih lagi dipegang oleh kerajaan negeri. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan.

P.13(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang yang digubal  mengenai pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa mestilah memberikan pampasan yang memadai kepada pemilik harta tersebut.

Peruntukan mengenai prinsip pampasan yang memadai terdapat di bawah Jadual Pertama APT 1960. Ini bertujuan agar pampasan yang diberikan memang memadai berbanding kehilangan harta oleh pemiliknya. Inilah jaminan Perlembagaan Persekutuan dibawah Perkara 13 tersebut.

Berdasarkan jaminan tersebut, perlu diwujudkan terlebih dahulu satu undang-undang yang boleh menjelaskan prosedur pengambilan tanah secara paksa dan juga prinsip-prinsip untuk memberi ‘pampasan yang memadai’.

APT 1960 juga telah menyediakan prosedur pengambilan yang lengkap dan teratur. Dalam kes S.KULASINGAM & ANOR V COMISSIONER OF LANDS, FEDERAL TERRITORY & ANOR (SUPRA) Hakim Abdoolcader menyatakan tidak perlu ada perbicaraan sebelum pengambilan. Perbicaraan akan melembapkan prosiding pengambilan tanah di seluruh Negara. Ia tidak melanggar hak terhadap harta di bawah P.13 Perlembagaan. Ini kerana dalam Akta ada peruntukan khusus mengenai siasatan dan pampasan. Prinsip expressio unius est exclusion alterius (the explicit mention of one (thing) is the exclusion of another) terpakai untuk mengenepikan prinsip keadilan asasi (natural justice).

Dalam kes PHILIP HOALIM v STATE COMMISIONER OF PENANG [1976] 2 MLJ 231, Hakim dalam kes ini telah menyatakan: “ …. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan jelasnya tidak menghalang kuasa-kuasa perundangan bagi tujuan pengambilan tanah tetapi hanyalah mengisytiharkan sebagai tidak menurut Perlembagaan atau menegah mana-mana tindakan eksekutif melucutkan harta seseorang itu secara yang bercanggah dengan undnag-undnag atau Perlembagaan Persekutuan ……”

Pengambilan akan memberi kesan yang amat besar kepada tuan tanah dan pampasan yang setimpal adalah diperlukan. Pertamanya, apabila satu pengambilan tanah dibuat maka tuan punya berdaftar ke atas tanah tersebut akan hilang hak ke atas hakmilik yang tidak boleh disangkal di bawah S.340(1) Kanun Tanah Negara. Keduanya, pemilik tanah juga akan hilang hak untuk mendapatkan kenikmatan yang ekslusif ke atas tanah tersebut sepertimana diperuntukan di bawah S.44 Kanun Tanah Negara.

Namun, kena difahami bahawa tanah merupakan sumber terpenting dalam mempergiatkan pelaksanaan pembangunan negara kita. Segala bentuk pembangunan samada pembangunan sosio ekonomi ataupun pembangunan fizikal memerlukan tanah sebagai aset utama. Meskipun, kerajaan ada pelbagai pilihan untuk mendapatkan tanah, seprti pembelian terus, tetapi pengambilan merupakan kaedah yang paling sesuai.

Pengambilan tanah bukan sewenang-wenangnya, ia mesti dilakukan dalam maksud dan tujuan sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 3 APT 1960.

PENGAMBILAN TANAH - GANGGUAN KEPADA HAK ASASI? PENGAMBILAN TANAH - GANGGUAN KEPADA HAK ASASI? Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 7:41:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.