TUJUAN PENGAMBILAN TANAH

TUJUAN PENGAMBILAN TANAH PENDAHULUAN Tujuan di sini bermaksud untuk kegunaan apa tanah tersebut dibuat pengambilan. Pihak berkuasa boleh membuat pengambilan untuk maksud-maksud yang dinyatakan dalam APT 1960 sahaja. Seksyen 3(1) Akta Pengambilan Tanah memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mengambil mana-mana tanah yang diperlukan dengan tujuan-tujuan yang berikut: (a) Bagi apa-apa maksud awam (b) Oleh mana-mana orang atau perbadanan bagi apa-apa maksud yang pada pendapat Pihak Berkuasa Negeri adalah benefisial untuk kemajuan ekonomi Malaysia atau mana-mana dari itu atau kepada orang ramai secara am atau mana-mana kelas orang ramai; atau (c) Bagi maksud perlombongan atau untuk maksud-maksud kediaman, pertanian, perdagangan, perindustrian atau rekreasi atau mana-mana kombinasi maksud itu. BAGI MAKSUD AWAM (PUBLIC PURPOSE) Tidak ada definisi yang khusus yang diberikan oleh APT 1960 mengenai perkataan maksud awam di bawah S.3(1)(a). Tujuan awam atau maksud awam juga digunakan di bawah S. 62 KTN 1965 iaitu mengenai perizaban tanah kerajaan bagi maksud awam, tetapi juga tidak diberikan definisi bawah KTN. Perkataan tujuan awam ini difahami sebagai untuk kegunaan berbentuk awam iaitu tanah-tanah yang diambil untuk mendirikan sekolah, hospital, balai raya, tempat letak kereta, pelabuhan, pejabat kerajaan, lapangan terbang, lebuhraya dan sebagainya. Mungkin definisi maksud awam diberi sedikit pencerahan oleh Manual Pengambilan Tanah yang dikeluarkan oleh JKPTG iatu ‘apa-apa kepentingan untuk faedah awam atau sebahagian awam dan bukan faedah untuk individu”. Peguam Negara melalui suratnya Bilangan PN (ARV) 2983 Jilid VII bertarikh 4 Januari 2002, telah memutuskan bahawa suatu badan yang ditubuhkan sebagai suatu perbadanan tidak pula dengan sebab perbadannnya terpaksa mengambil tanah di bawah perenggan 3(1)(b) APT 1960. Menurutnya selain APT 1960 Parlimen juga telah menggubal undang-undnag yang lain yang memberi kuasa kepada badan berkanun untuk mengambil tanah di bawah Pelbagai Akta Parlimen yang mana telah memperuntukkan bahawa suatu pengisytiharan mengenai pengambilan tanah sedemikian hendaklah disifatkan sebagai tujuan awam di bawah APT 1960. Oleh yang demikian badan-badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk mengambil tanah secara paksa dibawah undang-undang penubuhannya boleh membuat pengambilan tanah di bawah S.3(1)(a) APT 1960 bagi suatu tujuan yang dengannya badan berkanun itu telah ditubuhkan dan tujuan sedemikian hendaklah disifatkan sebagai tujuan awam. Dalam kes S. KULASINGAM & ANOR lwn COMMISSIONER OF LAND OF FEDERAL TERRITORY & ANOR, penentuan maksud atau tujuan awam adalah menggunakan ujian pengertian biasa iaitu dengan melihat maksud itu memelihara dan menyediakan kepentingan-kepentingan am kepada masyarakat atau sebaliknya. MAKSUD UNTUK KEMAJUAN EKONOMI MALAYSIA Maksud bagi kategori ini adalah terlalu luas. Ini kerana maksud pengambilan dibawah s.3(1)(b) ini bukan terhad dibuat oleh kerajaan tidak seperti pengambilan di bawah S.3(1)(a). Mana-mana orang atau perbadanan dan untuk faedah pembangunan ekonomi boleh memohon untuk membuat pengambilan. Meskipun begitu ‘mana-mana orang atau perbadanan’ itu mestilah seorang yang layak untuk memiliki tanah di bawah Kanun Tanah Negara. Ini termasuklah orang perseorangan, pemaju perumahan, pihak swasta, perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat atau ditubuhkan oleh Parlimen dan Enakmen Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya. Pengambilan oleh PBT mestilah mematuhi kehendak S.13 Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) dan S.37 Akta Perancang Bandar dan Desa (Akta 172) Jika diteliti, seksyen 3(1)(b) APT 1960 ini juga memberi kuasa yang luas kepada PBN di mana sesuatu pengambilan tanah boleh dilakukan atas tujuan pembangunan ekonomi atau awam. Sama ada maksud itu dijalankan oleh mana-mana orang termasuk orang persendirian, perbadanan atau bukan, tidaklah menjadi satu persoalan selagi ia bermanfaat untuk pembangunan ekonomi negara kerana sesuatu itu memberi manfaat atau tidak akan ditentukan dalam bidangkuasa PBN. Dalam kes MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN (PEMERBADANAN) v PENTADBIR TANAH DAERAH SEREMBAN & ANOR [1995] 3 MLJ 710 dimana Mahkamah Rayuan mengatakan bahawa: “Adalah jelas bahawa PBN boleh mengambil tanah bagi dirinya sendiri untuk tujuan-tujuan yang dinyatakan di bawah S.3 (a) dan (c) dan boleh mengambil tanah bagi pihak yang lain dibawah S.3(b). Sebelum pindaan dibuat dalam tahun 1991, PBN hanya boleh mengambil tanah untuk seseorang atau sesebuah perbadanan yang menjalankan suatu kerja yang dalam pendapat mereka adalah untuk kemudahan awam di bawah S.3(b). Walaubagaimanapun, dari 13 September 1991, PBN boleh mengambil tanah untuk seseorang atau sesebuah perbadanan bagi apa-apa tujuan yang dalam pendapat mereka adalah bermanfaat terhadap pembangunan ekonomi Malaysia atau apa-apa bahagian daripadanya atau kepada orang awam secara am, ataupun apa-apa kelas orang awam”. Ini bererti sesuatu tanah boleh diambil secara paksa oleh PBN dalam memenuhi kehendak mana-mana individu atau jabatan kerajaan atau perbadanan jika tujuan pengambilan itu adalah untuk pembangunan ekonomi negara dan kepentingan awam. Kepentingan awam di sini boleh ditafsirkan sebagai peningkatan ekonomi, meningkatkan kualiti sosial bagi sesuatu kawasan atau sekitar. Dalam kes NG KAM LOON & ORS lwn PENGARAH JABATAN KERJA RAYA JOHOR & ORS [1990] 2 MLJ 229, tanah yang diambil untuk kerja-kerja bekalan air juga dianggap sebagai kemudahan awam bagi maksud seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960. Dalam kes YEW LEAN FINANCE (M) SDN BHD v DIRECTOR OF LAND & MINES PENANG [1977] 2 MLJ 45 pemilik tanah diberitahu bahawa tanah mereka diambil untuk maksud kediaman, perindustrian dan awam. Mereka mencabar keesahan pengambilan dengan alasan maksud yang kabur. Hakim memutuskan bahawa kerajaan berkuasa menentukan apa yang dikatakan dan apa yang bukan dikatakan maksud awam dan dalam hal tertentu adalah tidak praktis untuk menetapkan secara terperinci maksud sesuatu lot atau kawasan tanah yang diambil. Pemilik tanah tiada pilihan selain menyerahkan tanah berkenaan dan tidak kiralah untuk keperluan apa tanah itu kemudiannya digunakan, selagi ia adalah untuk maksud awam. BAGI MAKSUD PERLOMBONGAN ATAU UNTUK KEDIAMAN, PERTANIAN, PERDAGANGAN, PERINDUSTRIAN ATAU REKREASI Maksud – maksud bagi kategori telah diterangkan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dalam syarat nyata tanah. Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bil 8/97 telah memberi kemaskini tentang syarat nyata tanah ini. a. Perlombongan Kerajaan boleh mengambil tanah untuk tujuan perlombongan. Maksud perlombongan di sini ialah tanah milik yang kemudiannya didapati mengandungi bahan-bahan galian. Tujuan pengambilan adalah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti perlombongan termasuk membina bangunan untuk memproses bahan galian tersebut sama ada di atas tanah tersebut atau tanah yang berhampiran. Walaubagaimanapun, jika tanah itu dipegang di bawah Sijil Perlombongan atau pajakan Lombong, maka tanah itu adalah tanah kerajaan yang tidak terlibat dengan pengambilan di bawah Seksyen 3(1)(c) ini. b. Pertanian Pengambilan juga boleh dibuat untuk dijadikan kawasan pertanian. Kanun Tanah Negara (S.5) mendefinisikan Pertaniah sebagai: “… termasuklah penanaman apa-apa tanaman (termasuk pokok-pokok yang ditanam bagi maksud mendapatkan hasilnya), berkebun sayur, pembiakan serta pemeliharaan lebah, ternak dan reptilian dan akuakultur”. Antara contoh pengambilan yang dibuat ialah di Kerpan, Kedah dimana kerajaan membuat pengambilan tanah padi untuk dijadikan kolam ternakan udang. Pada asalnya, ia mendapat tentangan dan bantahan dari penduduk tetapi akhirnya ramai yang mendapat manfaat dari pengambilan tersebut. c. Kediaman Antara maksud yang paling popular untuk pengambilan ialah bagi maksud kediaman. Biasanya permohonan ini dibuat oleh syarikat pemaju perumahan untuk dijadikan Bandar baharu atau untuk kediaman (kuarters) pekerja. Bangunan kediaman bermakna mana-mana lot tanah yang diberimilik yang diguna atau dicadang digunakan sepenuhnya untuk tujuan kediaman. Tujuan kediaman termasuk; (i) Rumah kediaman, contoh: Rumah kediaman, Rumah sesebuah, Rumah kos rendah, Rumah bangle, Rumah pangsa, Rumah pangsa kos rendah, Rumah apartment, Rumah kos sederhana, Rumah pangsa kos sederhana, Rumah teres satu tingkat, Rumah teres dua tingkat, Rumah kembar satu tingkat, Rumah kembar dua tingkat, Pangsapuri Town house, Kondominium, Rumah kluster (ii) Tujuan bagi menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan, perubatan, sanitari dan lain-lain kemudahan kebajikan dan kemasyarakatan, contoh : Pusat aktiviti pesara, Rumah orang tua, Pusat kebajikan, Dewan serbaguna Dalam kes PEMUNGUT HASIL TANAH KUANTAN v NOR CHAHAYA AB MAJID [1979] 1 MLJ 180 dimana tanah-tanah dalam kes-kes ini telah diambil untuk tapak bagi pembinaan rumah-rumah kos rendah. d. Perindustrian Lot industri bermakna mana-mana tanah yang diberimilik yang digunakan atau dicadangkan digunakan untuk tujuan industri. Maksud perindustrian telah digariskan di bawah S.117(1)(a) KTN 1965 : iaitu maksud mendirikan atau menyelenggara kilang, bengkel, fondri, gudang, limbungan, jeti, keretapi atau bangunan atau pemasangan lain untuk digunakan atau berkaitan dengan satu maksud atau lebih dari maksud-maksud berikut: i. Perkilangan ii. Peleburan iii. Pengeluaran dan penyebaran kuasa iv. Pemasangan, pemprosesan, penstoran, pengangkutan atau pengedaran barang-barang atau komoditi-komoditi lain v. Apa-apa maksud lain sepertimana PBN mungkin menetapkan bagi maksud-maksud seksyen ini melalui kaedah-kaedah di bawah S.14 KTN e. Perdagangan Ia merangkumi perkara-perkara berikut: i. Tujuan pentadbiran (administration) atau perdagangan (commercial) atau perniagaan dan tujuan pengangkutan penumpang-penumpang, contoh: rumah kedai, service apartment, tadika, pusat penyelidikan, pasar raya, pusat rawatan air, kolej, dan menara telekomunikasi. ii. Bagi tujuan pameran, jualan secara runcit (retail), baik pulih (repair) atau pengendalian dalam barangan komoditi atau menyediakan apa-apa perkhidmatan (services) iii. Bagi tujuan permainan, hiburan (entertainment) dan makanan serta minuman (refreshment) Dalam kes E v KETUA PENGAWAL HASIL DALAM NEGERI [1970] 2 MLJ 122, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan bahawa persaudagaran biasanya mengandungi suatu siri transaksi tindakan yang menggambarkan beberapa tindakan membeli dan menjual atau mengilang dan menjual secara berterusan dan berulang-ulang manakala perniagaan termasuklah urusan profession, kerja atau perdagangan tetapi tidak maksud pengajian. Untuk lebih memahami mengenai kawasan perdagangan, rujukan boleh dibuat kepada Garis Panduan Perancangan Kawasan Perdagangan yang disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (Plan Malaysia). Antara kandungan Garis panduan ini ialah definisi kawaasan perdagangan iaitu sebagai kawasan yang menempatkan premis-premis perniagan iaitu bangunan dan perkarangannya yang menempatkan aktiviti perdagangan. PENUTUP Berdasarkan peruntukan APT 1960 ini terdapat tiga tujuan pengambilan tanah dibuat, sekiranya tujuan pengambilan di luar maksud yang tersebut di atas, maka pengambilan tersebut adalah tidak sah. Sebaliknya, jika sesuatu maksud pengambilan itu semata-mata untuk maksud awam yang bertepatan dengan salah satu tujuan-tujuan dalam S.3(1) diatas maka pengambilan itu tidak boleh dipersoalkan.
TUJUAN PENGAMBILAN TANAH TUJUAN PENGAMBILAN TANAH Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 6:06:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.