MELIHAT ANAK BULAN


 PENGENALAN 

Selalunya umat Islam akan tertunggu-tunggu pengumuman yang penting ini iaitu penetapan tarikh permulaan puasa dan penetapan hari raya. Pengumuman akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan akan disiarkan di kaca Tv dan Radio. Penetapan permulaan bulan Ramadhan merupakan perkara yang amat penting kerana ia melibatkan salah satu ibadat yang menjadi rukun Islam. 

 KAEDAH RUKYAH DAN HISAB 

 Penetapan bulan Ramadhan adalah berdasarkan salah satu daripada dua perkara berikut. 
1. Melihat anak bulan Ramadhan (Rukyah al-Hilal) pada malam 30 Sya’ban. Ini boleh berlaku apabila seorang saksi yang adil menyatakan kesaksiannya di hadapan qadi bahawa dia telah melihat anak bulan.

2. Mencukupkan 30 hari bulan Sya’ban. Ini berlaku apabila susah melihat anak bulan disebabkan awan tebal ataupun saksi yang adil tidak datang menyatakan bahawa dia telah melihat anak. Ketika itu disempurnakan bulan Sya’ban itu 30 hari kerana itu adalah asal keadaan selagimana tidak datang perkara lain yang bertentangan dengannya. 

 Dalil kenyataan di atas ialah sabda Rasulullaln s.a.w ‘ “Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya dan berbuka kerana melihatnya, sekiranya kamu terhalang daripada melihatnya maka sempurnakanlah bilangan Sya’ban .Selama 30 hari. ” (al-Bukhari (1810) dan Musljm (I080)). 

 Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.W. lalu berkata: “Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan Ramadhan.” Sabda Baginda: ‘Apakah kamu menyaksikan bahawa: tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah? ”Katanya.’ “Ya. ” Tanya Baginda: “ Apakah kamu menyaksikan bahawa Muhammad itu utusan Allah ?. ”Jawabnya: “Ya.” Sabda Baginda: “Wahai Bilal isytiharkan kepada orang ramai hendaklah mereka berpuasa pada esok hari. ” (Disahihkan oleh Ibnu Hibban di dalam Mawarid az-Zham’an (870) dan al-Hakim (1/424)). 

 Dengan ini, apabila anak bulan kelihatan di suatu negeri (bandar) maka penduduk negeri (bandar) yang berhampiran dengan negeri yang melihat anak bulan itu wajib berpuasa. Manakala penduduk negeri-negeri yang jauh tidak diwajibkan kerana negeri-negeri (bandar) yang dekat seperti Damsyik, Himsy dan Halab(Aleppo) dihukumkan sebagai satu negeri (bandar), berbeza dengan negeri-negeri (bandar) yang jauh seperti Damsyik, Kaherah dan Makkah.

 Ukuran jauh dekat adalah berdasarkan kepada perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan). 

Dalil kenyataan di atas ialah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (1087) daripada Kuraib katanya: Aku telah melihat anak bulan Ramadhan sewaktu aku berada di Syam. Aku melihatnya pada malam Jumaat. Kemudian aku pergi ke Madinah pada akhir bulan, lalu Ibnu Abbas r.a. bertanya kepadaku: ‘Bila kamu semua melihat anak bulan?. ” Jawabku: “Kami melihatnya pada malam Jumaat.”Katanya: ‘Apakah kamu yang melihatnya?’ Jawabku: “Ya, dan orang ramai juga telah melihatnya lalu mereka semua berpuasa dan Muawiyah juga berpuasa.” Katanya: “Kami semua melihatnya pada malam Sabtu. Kami terus berpuasa sehingga sempurnanya 80 hari ataupun kami akan melihatnya.”Aku berkata: “Apakah tidak cukup dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?.” Katanya: “Tidak, beginilah kami telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w.. ” 

 Berdasarkan hadis ini para ulama‘ mengatakan: Apabila puasa tidak diwajibkan terhadap penduduk negeri (bandar) yang jauh lalu seseorang penduduk negeri yang telah melihat anak bulan bermusafir ke negeri tersebut, maka dia hendaklah berpuasa bersarna mereka di akhir bulan walaupun dia telah menyempurnakan puasa selama 30 hari. Ini kerana disebabkan perpindahannya ke negeri tersebut, dia dianggap salah seorang daripada mereka. Dengan itu dia mesti mengikut hukum mereka. 

 Sesiapa yang bermusafir dari negeri yang tidak melihat anak bulan ke negeri yang melihat anak bulan, dia hendaklah berbuka (berhari raya) bersama-sama mereka sama ada dia berpuasa selama 28 hari (disebabkan Ramadhan pada penduduk setempat hanyalah 29 hari, maka dia hendaklah berhari raya selepas hari ke 29) ataupun dia berpuasa 29 hari (disebabkan Ramadhan di sisi mereka telah sempurna (cukup 30 hari)). ‘Walau bagaimanapun, sekiranya dia berpuasa selama 28 hari, maka dia hendaklah mengqadha‘kan puasanya selama satu hari kerana satu bulan bukanlah 28 hari. Barangsiapa yang pada waktu paginya berada di negeri yang merayakan hari raya lalu bermusafir ke negeri yang jauh dan penduduknya masih berpuasa, dia wajib menahan dirinya untuk baki hari tersebut sebagai mengikuti penduduk negeri tersebut. 

 PELAKSANAAN RUKYAH DAN HISAB DI MALAYSIA 

 Pada peringkat awal, amalan rukyah dilakukan oleh golongan cerdik pandai agama seperti alim ulama’, kadi dan mufti kerana mereka mempunyai pengetahuan yang luas tentang ilmu falak dan hukum syarak berkaitan. Usaha merukyah telah dijalankan secara rasmi sejak tahun 1934 oleh Syed Alwi Bin Tahir al-Hada dari Masjid Menara Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. 

Kemudian pada tahun 1970, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam ditubuhkan dan jawatankuasa rasmi telah dilantik untuk melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal di tiga tempat iaitu Telok Kemang, Johor Bahru dan Kampong Pulau Sayak. Menurut kaedah rukyah dan hisab, anak bulan akan dirukyah pada petang 29 Syaaban dan 29 Ramadhan. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan tetapi menurut hisab falak (iaitu kiraan falak) bahawa anak bulan ada dan boleh dilihat, maka hisab falak boleh digunakan. 

Dalam pertemuan tidak rasmi Menteri-Menteri Agama Negeri Brunei, Republik Indonesia, Malaysia Dan Singapura (MABIMS) pada tahun 1989 satu ketetapan telah dibuat iaitu penyelarasan dalam penentuan awal Bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dikalangan negara anggota berdasarkan rukyah dan hisab. Ini merupakan satu tanda positif dalam usaha meningkatkan perpaduan umat islam di rantau ini. 

 Salah satu perkara penting dalam pelaksanaan rukyah dan hisab ini ialah penggunaan kriteria imkanur rukyah. Kriteria tersebut telah dipersetujui untuk diterima pakai oleh anggota MABIMS dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam kali ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan. Mulai tahun 1995, pemakaian kriteria ini telah diperluaskan bagi menentukan kesemua bulan-bulan hijriah. 

 KRITERIA IMKANUR RUKYAH DALAM AMALAN RUKYAH DAN HISAB 

Kaedah Hisab: 
Menurut kaedah hisab hakiki, Bulan baru apabila ijtimak berlaku sebelum waktu Matahari terbenam tanpa mengambil kira samada anak Bulan wujud atau tidak. Taqwim hijri yang menggunakan konsep ini dinamakan taqwim hijri hakiki. Jika kewujudan anak Bulan selepas ijtimak dijadikan sebagai asas penentuan awal Bulan, taqwim ini dinamakan taqwim ijtimak wujudul hilal. 

Kaedah Rukyah: 

Kaedah rukyah ialah kaedah melihat anak Bulan ketika Matahari terbenam pada 29 hari bulan hijri dengan mata kasar atau teropong. Ia hanya digunakan untuk tujuan penentuan awal Bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sahaja. 

Kaedah Rukyah Dan Hisab 

Berdasarkan kriteria imkanur rukyah iaitu penentuan masuknya awal Bulan baru apabila kedudukan matahari terbenam berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakkannya . 

Kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan hilal) mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan ketetapan: 
(1) Ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam; 
(2) Jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam. 

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerimapakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif, bahawa umur hilal tidak kurang dari lapan jam ketika ianya terbenam. Pada 1 Jun 1992, bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersetuju untuk mengubahsuai kriteria Imkanur-Rukyah yang sedia ada. 

Ketetapan tersebut menyatakan bahawa hilal akan kelihatan jika ia berada pada ketinggian 2° dari ufuk ketika matahari terbenam dan jarak lengkung anak bulan dengan matahari adalah 3° ketika matahari terbenam atau umur hilal lebih dari 8 jam selepas ijtimak berlaku ketika ianya terbenam. 

 Kriteria ini menyatakan sekiranya hilal telah lahir (ijtimak berlaku sebelum terbenam matahari pada 29 Syaaban atau Ramadan) dan menurut hisab falak kedudukan hilal berada dalam lingkungan dan had syarat Imkanur Rukyah, maka telah dikira masuk bulan baru (Ramadhan atau Syawal) dan esoknya dikira 1 Ramadan atau Syawal. Tetapi jika hilal walaupun sudah lahir (ijtimak) sebelum matahari terbenam tetapi menurut hisab hilal berada diluar lingkungan atau tidak memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka hilal dikira tidak kelihatan dan esoknya dicukupkan 30 Syaaban atau Ramadan. Oleh kerana bilangan bulan dalam kalendar Hijrah adalah antara 29 atau 30 hari sahaja, maka jika hilal tidak kelihatan pada 29 haribulan maka dicukupkan jumlah 30 hari dan jika hilal kelihatan maka jumlah hari pada bulan tersebut hanya 29 hari sahaja. 

 PENUTUP 

Berdasarkan tulisan di atas, umat Islam boleh memahami kaedah penetapan permulaan puasa dan hari raya. Mungkin selama ini, kita kurang mengambil peduli mengenai perkara ini. Kini, umat islam bukan sekadar menunggu pengumuman dari Penyimpan Mohor Besar Raja-raja tetapi boleh memahami bagaimana penetapan tersebut dibuat.
MELIHAT ANAK BULAN MELIHAT ANAK BULAN Reviewed by Kamaruddin Mahmood on 5:47:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.